Ingin miliki zuriat

Ingin miliki zuriat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN
Bulan ini genap lima tahun saya berkahwin. Saya teringin sangat ada anak sendiri. Tapi berbeza pula dengan suami, asyik beri alasan ekonomi belum stabil dan tidak mahu terikat dengan komitmen sedangkan kami tiada masalah dari segi kesihatan. Ada cara untuk saya memujuk suami?
-Isteri sedih

 

JAWAPAN
Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mengimpikan zuriat sendiri.

Namun, keinginan isteri untuk mempunyai anak mungkin tidak selari dengan matlamat suami yang beranggapan ekonomi masih belum stabil dan komitmen besar menanti.

Situasi ini sering kali menimbulkan ketegangan dalam rumah tangga.

Berikut beberapa cara yang mungkin boleh membantu anda menanganinya:

a)Fahami situasi suami – belajar untuk memahami situasi suami. Adakah dia tertekan dari segi kewangan, tanggungjawab atau mungkin pernah mempunyai pengalaman masa lalu? Pendekatan ini menunjukkan anda menghormati pendapatnya dan berusaha untuk membantu suami.

b)Komunikasi terbuka – Luangkan masa berbincang tentang hala tuju keluarga. Kongsikan keinginan anda secara jujur, tetapi elakkan memaksa. Tekankan betapa anda menghargai pendapat suami dan ingin membuat keputusan bersama.

c)Bincang perancangan kewangan – Buat perancangan dan simpanan kewangan dengan lebih tersusun. Tunjukkan yang anda bersedia untuk membantu merancang dan mengurus kewangan apabila ada anak, supaya suami rasa lebih yakin.

d)Ruang untuk refleksi diri – Elakkan terlalu mendesak suami kerana khuatir akan menimbulkan pergaduhan lebih besar. Berikan suami masa untuk memproses idea selepas perbincangan tersebut. Kadangkala lelaki memerlukan masa untuk menerima perubahan besar dalam hidup.

e)Tunjukkan kepentingan anak dalam keluarga – Luahkan perasaan dan keinginan anda untuk menjadi ibu. Boleh juga kongsikan pandangan tentang bagaimana kehadiran anak boleh membahagiakan kalian sekeluarga.

f)Penglibatan suami – Ajak suami terlibat dalam aktiviti keluarga dan rakan-rakan yang mempunyai anak kecil. Kadangkala pengalaman secara langsung dengan melihat kegembiraan orang lain mungkin membantu mengubah pandangan suami.

g)Pandangan profesional – Dapatkan nasihat kaunselor keluarga dan berbincang tentang perancangan kewangan yang bersesuaian bagi membuat persediaan awal sebelum menyambut kehadiran anak.

Pendekatan yang penuh kasih sayang dan pengertian boleh membantu suami lebih yakin dan bersedia untuk membina keluarga besar yang lebih harmoni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×