ANTARA berita yang menggembirakan umat Islam pada bulan Rejab ini adalah penangguhan sementara semua permit penganjuran konsert di Selangor yang diumumkan pada 3 Januari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia susulan penyalahgunaan dadah dalam konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Selangor pada ambang tahun baharu. Ia berkuat kuasa sehingga siasatan mengenainya selesai.
Pada 31 Disember lalu, Konsert Pinkfish di Bandar Sunway itu dikejutkan dengan kematian empat individu, dua mangsa di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala seorang lagi sudah dibenarkan keluar hospital selepas dipercayai mengambil pil ekstasi.
Sekurang-kurangnya larangan itu dapat mengurangkan budaya melebih-lebihkan hiburan. Sementelah kita semakin hampir memasuki bulan Ramadan yang mulia, kira-kira 50 hari lagi.
Sebab itu, kita digalakkan berdoa sepanjang bulan ini. Anas bin Malik melaporkan, “Apabila masuk bulan Rejab, Nabi akan berdoa, ‘Allahumma barik lana fi Rajab wa Sya’ban, wa ballighna Ramadan (Ya Allah. Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban. Sampaikan kami bertemu dengan Ramadan). Hadis daif diriwayatkan oleh Imam al-Suyuti (al-Suyuti, al-Jami’ al-Saghir)
Golongan salaf pula lebih hebat dalam menunggu-nunggu kedatangan Ramadan. Al-Imam Ibn Rejab al-Hanbali Rahimahullah di dalam kitabnya, Lataif al-Ma’arif menukilkan daripada Ma’la bin al-Fadhl: “Adalah mereka (golongan salaf) berdoa kepada Allah selama enam bulan supaya disampaikan kepada mereka bulan Ramadan dan enam bulan lagi supaya Allah menerima daripada mereka amalan mereka”.
DEFINISI REJAB
Rejab bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Selain itu, ia dinamakan bulan Rejab kerana mereka mengagungkan bulan ini ketika zaman al-Jahiliyyah dengan meninggalkan peperangan padanya.
Perkataan jamak bagi Rejab adalah Arjab dan jika digabungkan Rejab dan Syaaban dinamakan sebagai Rajaban. (Lihat: Mukhtar al-Shihah, 118). Di samping itu, Rejab merupakan bulan ketujuh dalam tahun hijri dan antara bulan Haram yang diharamkan peperangan atau pembunuhan padanya. Bulan ini datang selepas daripada Jumadi al-Akhir dan selepasnya adalah Syaaban.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa”. (al-Taubah:36)
Di antara kelebihan dalam bulan Haram ini disebutkan oleh Al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya yang menukilkan pendapat Ibn Abbas yang menyatakan setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan lain. (Tafsir Ibn Kathir, 4:130)
Antara amalan-amalan yang digalakkan pada Rejab dan amalan-amalan ini bersifat umum adalah:
– Berpuasa
Antara amalan baginda SAW dalam Rejab ialah banyak puasa sunat. Ia juga sebagai latihan awal untuk kita menghadapi Ramadan iaitu melaksana puasa sebulan yang diwajibkan.
Uthman bin Hakim al-Ansari melaporkan: Saya bertanya kepada Sa’id bin Jubayr berkaitan puasa sunat bulan Rejab, ketika itu kami berada dalam bulan Rejab. Sa’id bin Jubayr menjawab, ‘Saya pernah mendengar Ibnu Abbas berkata, Rasulullah SAW berpuasa sunat pada bulan Rejab, sehingga kami berkata, Baginda berpuasa setiap hari, tanpa meninggalkannya. Terkadang baginda tidak berpuasa, sehingga kami berkata: Baginda tidak berpuasa sepanjang bulan Rejab. (Sahih Muslim, jil. 2, hlm. 811, hadis no. 1157).
Mahu puasa sunat dalam keadaan orang lain bebas makan-minum bukanlah suatu yang mudah. Namun, bukan pula mustahil untuk kita berpuasa selain bulan Ramadan. Malah, puasa sunat Rejab dan Syaaban ini sudah masyhur dan menjadi amalan dalam masyarakat negara kita.
Dari segi beramal, Nabi SAW menyebut amalan yang terbaik adalah walau sedikit tetapi dilakukan dengan istiqamah (berterusan).
Jadi bagi mereka yang baru mahu berjinak-jinak dengan puasa sunat, amalkan puasa Isnin dan Khamis atau tiga hari dalam sebulan iaitu puasa hari putih. Kita ada peluang melaksanakanya iaitu pada Isnin hingga Rabu ini iaitu pada 13, 14 dan 15 Rejab.
– Banyakkan membaca al-Quran
Jadikan Rejab juga sebagai permulaan untuk membanyakkan membaca al-Quran. Membaca al-Quran secara rutin dapat memberikan ketenangan dan kedamaian bagi jiwa.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” (al-Ra’d: 28)
Ayat ini menjelaskan dengan mengingat dan membaca al-Quran, hati dan jiwa kita akan menjadi tenang dan terbebas dari segala kegelisahan atau kekhawatiran. Bukan hanya sebagai panduan hidup, membaca al-Quran juga memberikan banyak manfaat dan keistimewaan bagi mereka yang melakukannya secara rutin.
Antara hadis yang menekankan pentingnya membaca al-Quran setiap hari ialah sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat bagi orang-orang yang rajin membacanya.” (Riwayat Muslim).
– Banyakkan bersedekah
Sedekah bukan hanya perihal memberikan sebahagian harta kepada golongan yang memerlukan, namun manfaat sedekah lebih luas akan dirasakan oleh mereka yang melakukannya. Antaranya, memperkuat keimanan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT
Jika kita bersedekah dengan niat beribadah kerana Allah, pasti akan bertambah keimanan kita terhadap-Nya. Bersedekah juga dapat mendekatkan diri kepada Allah kerana Allah sangat menyayangi akan golongan hambaNya yang banyak memberi keranaNya, bukan untuk menunjuk-nunjuk.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud; “Tidak ada hari yang disambut oleh para hamba melainkan di sana ada dua malaikat yang turun, salah satunya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang-orang yang berinfaq’. Sedangkan (malaikat) yang lainnya berkata: ‘Ya Allah berikanlah kehancuran kepada orang-orang yang menahan (hartanya)’. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Satu lagi peristiwa penting dalam Rejab adalah Peristiwa Israk Mikraj. Peristiwa agung 27 Rejab iaitu Rasulullah SAW telah diperjalankan oleh Allah dari Mekah ke Baitulmaqdis di Palestin pada waktu malam dan ketika itu juga sekali lagi dibelahnya dada.
Baginda SAW kemudian diangkat ke langit bertemu Allah dan Allah memerintahkan kewajipan ibadah solat lima waktu sehari semalam kepada umat baginda.-UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










