KUANTAN: Anak sulung Zahnita Dorothy Hussein Wilson dengan Abd. Zackery Ghouse Abd. Ghani mengakui terganggu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 ekoran krisis rumah tangga membabitkan ibu bapanya itu.
Ketika ditemui di Mahkota Height di sini, Zahrafeena, 18, yang tidak dapat menahan sebak dan menyembunyikan kesedihan dengan senyuman, mengakui krisis rumah tangga ibu bapanya memberi kesan kepadanya yang merupakan anak sulung daripada empat beradik.
“Krisis ini berlaku ketika saya menduduki peperiksaan SPM dan tentunya ia memberi tekanan kerana saya mengalami gangguan untuk belajar dan menumpukan perhatian kepada peperiksaan.
“Akibat krisis ini juga, ibu seolah-olah tidak memberikan perhatian kepada saya yang mengambil peperiksaan SPM,” katanya.
Bagaimanapun, Zahrafeena yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Mahkota 2 di sini, mendapat sokongan dan juga kata-kata semangat daripada guru-guru yang mengambil berat terhadap dirinya.
“Cikgu risau bagaimana SPM Zahra dan bertanya khabar macam mana persediaan, buat apa di rumah ada siapa masak. Mereka risau Zahra hadapi SPM dan bagi semangat juga,” katanya.
Menurutnya, episod pertelingkahan ibu bapanya yang tidak berkesudahan dan berterusan membuatkan dia penat dan bersedia menerima perpisahan dua insan tersayang itu jika itu yang terbaik buat mereka.
“Sudah beberapa kali emak tinggalkan rumah dan kadangkala saya ikut. Saya rasa penat dan kali ini saya ikut apa yang terbaik saya reda sahaja (sekiranya berlaku perceraian),” katanya.
Pada 3 Disember 2024, Zahnita yang mendirikan rumah tangga dengan Abd. Zackery Ghouse pada 2005 dan dikurniakan empat cahaya mata memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan.
Dalam pendengaran terbaharu kelmarin kedua-dua pasangan itu gagal mencapai kata sepakat dan mahkamah memerintahkan pasangan itu melantik wakil Jawatankuasa Pendamai.
Pada 28 Februari depan, keputusan mengenai kes penjagaan anak kedua-dua pasangan tersebut dijangka diputuskan Mahkamah Syariah Kuantan selain pendengaran kes perceraian.
Sementara itu Abd. Zackery Ghouse berkata, dia bersedia melepaskan Zahnita dengan meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi bekas model dan pelakon itu termasuk kebajikan empat anak mereka iaitu Zahrafeena, Zasyarayna,12, Zahlia Syawal, 7, dan Abdul Zayden Ghouse, 4.
Mengenai sama ada masih ada sinar untuk menyelamatkan rumah tangga mereka, beliau berkata, tiada apa yang mustahil namun pada masa ini agak berat untuknya memaafkan apa yang dilakukan Zahnita terhadapnya. – UTUSAN











