Ukraine lancar serangan baharu di Kursk

Ukraine lancar serangan baharu di Kursk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia mendakwa Ukraine melancarkan serangan baharu di wilayah Kursk semalam, kawasan di mana tentera Russia berusaha mengusir pasukan Kyiv sejak lima bulan lalu.

Pasukan Ukraine melancarkan pencerobohan mengejut pada 6 Ogos dan berjaya menguasai sebahagian wilayah tersebut, yang berpotensi menjadi aset penting untuk rundingan damai pada masa hadapan.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Russia, pasukannya sedang mematahkan serangan Ukraine, namun terdapat laporan mendakwa benteng pertahanan Moscow berada di bawah tekanan kuat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Andriy Yermak dalam hantaran di Telegram berkata, terdapat ‘khabar gembira’ dari Kursk, dan mendakwa Russia sedang menerima pembalasan.

Ketua Pusat Menentang Maklumat Palsu Ukraine, Andriy Kovalenko, turut memaklumkan di Telegram bahawa tentera Russia diserang di beberapa tempat.

Kementerian Pertahanan Russia melaporkan, Ukraine melancarkan serangan sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan), berhampiran kampung Berdin menggunakan dua kereta kebal, satu kenderaan pembersih periuk api dan 12 kenderaan tempur berperisai dengan pasukan payung terjun.

“Artileri dan pasukan udara Kumpulan Utara berjaya menumpaskan kumpulan serangan Angkatan Tentera Ukraine,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pemangku Gabenor Kursk, Alexander Khinshtein mengingatkan orang ramai supaya mempercayai sumber rasmi dan menggesa penduduk yang berpindah agar tidak kembali ke kawasan berbahaya tanpa kebenaran.

Presiden Russia, Vladimir Putin sebelum ini menegaskan, negaranya akan mengusir pasukan Ukraine dari Kursk, tetapi enggan memberikan tempoh tertentu.

Pada masa ini, Moscow menguasai kira-kira satu perlima wilayah Ukraine, tetapi kejayaan Ukraine dalam mempertahankan kawasan di Russia boleh meningkatkan kedudukannya dalam rundingan damai.

Namun, dengan menumpukan sebahagian unit terbaiknya di Kursk, benteng pertahanan Ukraine di wilayah timur semakin lemah, di mana Moscow melancarkan serangan paling banyak sejak 2022.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN