PETALING JAYA: Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi wajib menyahut cabaran sekiranya benar kelab Iran, Persepolis mahu mendapatkan khidmatnya.
Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berkata, peluang keemasan itu tidak sepatutnya dilepaskan kerana di Liga Malaysia (Lima M), Arif Aiman dilihat tidak menerima cabaran.
“Pandangan saya, kalua benar Persepolis mahu beli Arif Aiman, lebih baik dia pergi sebab akan membantu pemain JDT itu mencari cabaran baharu untuk meningkatkan lagi prestasi.
“Bermain di Liga Super boleh, namun lama kelamaan sudah tiada cabaran kerana akhirnya tiada siapa yang boleh cabar dia. Lebih baik cabar diri bermain di liga lebih besar dan Persepolis juga kelab terkemuka.
“Dalam soal fizikal, tiada masalah untuk Arif Aiman kerana dia bermain di posisi yang tidak memerlukan ketinggian sebagainya. Di bahagian sayap, apa yang penting ialah kepantasan dan kelincahan.
“Secara dasarnya, saya katakana Arif Aiman wajib keluar, sudah tiba masanya untuk dia melebarkan sayapnya ke luar negara. ini adalah waktu yang tepat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengenai pengganti di JDT sekiranya Arif Aiman keluar, Sulaiman berkata, perkara itu tidak menjadi masalah kepada Harimau Selatan kerana mereka mempunyai ramai pemain berkualiti.
“DI JDT memang Arif Aiman memang jadi ‘talian hayat’, tetapi kena ingat mereka mempunyai ramai pemain yang mampu mengisi kekosongan mana-mana pemain yang keluar,” katanya.
Arif Aiman kini sudah melakukan 13 penampilan bersama JDT dalam saingan Liga Super dengan merekodkan tujuh gol dan tujuh bantuan jaringan selain cemerlang di Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) dengan empat jaringan.
Nilai pasaran pemain kelahiran Pahang itu dianggarkan mencecah 600,000 Euro (RM2.8 Juta) dan merupakan pemain tempatan termahal ketika ini. – UTUSAN











