Inspektor Salai sedia juadah salai lima jenis protein

Inspektor Salai sedia juadah salai lima jenis protein

RESTORAN Inspektor Salai terletak di pekan Balok, Kuantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak perlu ke Negeri Sembilan, peminat masakan salai di Pahang dan Kuantan khususnya boleh mendapatkan juadah kegemaran mereka itu di restoran Inspektor Salai yang terletak di Balok.

Inspektor Salai menyediakan lima jenis masakan gulai lemak dengan protein yang disalai iaitu daging salai, itik salai, ayam salai, ikan patin salai dan perut lembu salai.

Pemilik Inspektor Salai, Sarkan Muhammad, 46, berkata, restorannya mula dibuka pada 2018 iaitu sekitar sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19.

Katanya, ketika baru hendak memulakan perniagaan, mereka terpaksa tutup sepanjang tempoh itu kerana sambutan yang kurang menggalakkan berikutan ketika itu hanya dibenarkan berniaga secara pembungkusan dan penghantaran rumah ke rumah.

“Ketika baru memulakan perniagaan, negara dilanda Covid-19 dan peniaga makanan hanya dibenarkan berniaga secara pembungkusan dan penghantaran.

“Masa itu sambutan yang diterima agak kurang menggalakkan jadi saya ambil keputusan menutup sepenuhnya perniagaan saya.

“Selepas tiada lagi sekatan, saya kembali memulakan semula perniagaan dan sejak dari itu sambutan yang diterima amat menggalakkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Bercerita lanjut katanya, sebelum ini dia bekerja sebagai Inspektor Kawalan Kualiti secara bebas di beberapa syarikat manakala isterinya mendapat tender membuka kafeteria di sebuah syarikat gas dan minyak di Gebeng.

Restoran Inspektor Salai
Lokasi: Balok, Kuantan
Waktu operasi: Dibuka setiap hari (7 pagi hingga 6 petang)
Makanan paling popular:
Gulai lemak daging salai

“Memandangkan ketika isteri berniaga di kafeteria itu ramai pelanggan yang merupakan pekerja di situ yang membuat permintaan untuk kami sediakan gulai lemak daging salai.

“Daripada situlah tercetusnya idea untuk membuka kedai makan dengan gulai lemak salai sebagai menu utama.

“Ketika itu perancangannya masih belum tetap. Ada ketika jadi, ada ketika tidak. Tapi akhirnya kami buka juga dengan menamakan restoran kami sebegai Inspektor Salai bersempena dengan nama pekerjaan saya sebelum ini,” katanya lagi.

Menurut Sarkan lagi, makanan yang menjadi tarikan utama di restoran Inspektor Salai adalah gulai lemak daging salai yang dijual pada harga RM10 untuk semangkuk dan gulai lemak itik salai yang dijual pada harga RM13 seketul.

“Selain itu, kita juga ada menyediakan gulai lemak ayam salai yang dijual pada harga RM9.80 seketul, gulai lemak perut lembu salai pada harga RM10 semangkuk dan gulai lemak ikan keli salai pada harga RM8.80 seekor,” ujarnya.

Sarkan juga memberitahu, setiap minggu dia akan menyalai kira-kira 80 kilogram (kg) daging, 24 ekor itik, 30kg ikan keli, 10kg perut lembu dan 20 ekor ayam.

“Kita juga ada menyediakan beraneka jenis lauk pauk antaranya gulai tempoyak patin, sup dan singgang daging, gulai lemak telur itu dan lain-lain lagi,” tambahnya.

Bagi minuman pula, Sarkan memberitahu, minuman yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah teh hijau dan kopi kampung Inspektor Salai yang berharga RM5.50 segelas.

“Kedua-dua minuman ini kita olah menggunakan resipi rahsia kita sendiri dan mungkin disebabkn itu ia banyak mendapat permintaan ramai.

“Kami turut membotolkan kedua-kedua minuman ini bagi memudahkan pelanggan membawa pulang dan untuk diminum ketika dalam perjalanan,” katanya memberitahu restorannya dibuka setiap hari seawal pukul 7 pagi sehingga jam 6 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×