PADA 8 Disember 2024, dunia dikejutkan dengan kejatuhan pemerintahan 24 tahun rejim Bashar al-Assad, sekali gus menamatkan lebih 50 tahun legasi keluarga al-Assad memerintah Syria.
Akibat kejatuhan itu, perhatian turut beralih kepada isteri Bashar, Asma Fawaz al-Assad.
Asma, wanita kelahiran London, pernah digelar ‘Mawar Padang Pasir’ sebelum imejnya terpalit dengan kekejaman suami.
Di sebalik senyuman manis dan gaya hidup glamor, Asma antara sosok yang turut memainkan peranan besar dalam babak paling kelam bagi sejarah Syria.
Beberapa bulan selepas Bashar menjadi Presiden Syria pada 2000, beliau melangsungkan perkahwinan dengan Asma dalam sebuah majlis tertutup.
Ketika itu, Asma dilihat sangat mendekati rakyat sehingga digelar sebagai ‘Puteri Diana Syria’.
Syria berperang selama lebih 13 tahun selepas protes aman menentang kerajaan Bashar tercetus pada awal 2011, yang menyebabkan tindakan keras oleh rejim pemerintah.
Perang tersebut meragut sekurang-kurangnya 580,000 nyawa dan lebih 13 juta rakyat Syria terpaksa berpindah serta bergelar pelarian, menurut The Guardian.
Asma turut berperanan dalam mengawal beberapa sektor penting di Syria, termasuk ekonomi dan telekomunikasi, yang membolehkan beliau mempunyai pengaruh besar dalam rejim Bashar.
Susulan perang saudara itu, imej ‘Puteri Diana’ Asma semakin merosot dan beliau akhirnya menerima gelaran ‘wanita pertama dari neraka’ akibat kekejaman Bashar.
ARTIKEL VOGUE
Pada Februari 2011, ketika protes menentang rejim Bashar sedang meletus, majalah antarabangsa, Vogue menerbitkan artikel memuji Asma bertajuk A Rose in the Desert.
Dalam artikel tersebut, wartawan Joan Juliet Buck menggambarkan Asma sebagai wanita energetik dan menarik serta memuji gaya sederhana bekas Wanita Pertama Syria itu.
Artikel tersebut juga merujuk kepada keluarga al-Assad yang kononnya sangat demokratik.
Malangnya, penerbitan artikel itu disiarkan pada waktu yang tidak tepat, iaitu ketika rejim Bashar sudah membunuh lebih 5,000 orang awam yang berdemonstrasi menentang beliau termasuk ratusan kanak-kanak.
Artikel berkenaan menerima reaksi meluas, menyebabkan Vogue menarik balik penyiarannya daripada laman sesawang dan tidak memperbaharui kontrak perkhidmatan Buck.
Beberapa bulan selepas itu, The Hill mendedahkan kerajaan Syria mengupah sebuah firma perhubungan awam di Washington untuk menguruskan artikel profil dalam majalah tersebut.
Penerbitan itu melaporkan pada masa itu, Brown Lloyd James dibayar AS$5,000 (RM22,348) sebulan untuk menguruskan sesi temubual dan penggambaran.
MENDERITA LEUKEMIA
Pada bulan Mei, pejabat Presiden Syria mengumumkan Asma didiagnosis dengan leukemia myeloid akut, kanser agresif yang menyerang sumsum tulang dan darah.
Asma segera menarik diri daripada menghadiri acara rasmi untuk memberi tumpuan kepada rawatannya.
Ini adalah perjuangan kedua Asma melawan kanser, setelah beliau didiagnosis dengan kanser payudara pada Ogos 2018.
Setelah mengambil masa setahun untuk fokus kepada rawatan dan pemulihan, beliau mengadakan wawancara selama 30 minit di televisyen negara pada Ogos 2019 untuk mengumumkan dirinya sudah bebas daripada kanser.
Minggu lalu, media melaporkan penyakit leukemia Asma semakin teruk dan hanya memiliki peluang 50 peratus untuk hidup.
Beliau yang kini mencari perlindungan di Russia, tidak boleh lagi kembali ke Britain selepas pasportnya tamat tempoh dan terpaksa dirawat di Moscow.
Bahkan, timbul juga khabar angin mendakwa wanita berusia 49 tahun itu mahu memfailkan perceraian di Russia.
Asma didakwa tidak berpuas hati hidup terkongkong di bawah kawalan Presiden Russia, Vladimir Putin dan mahu kembali ke United Kingdom (UK).
Bagaimanapun, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menafikan laporan yang mendakwa Asma memfailkan perceraian.-UTUSANhttp://utusan.com.my









