PETALING JAYA: Walaupun rakyat merungut ekoran kenaikan kos rawatan di klinik swasta, namun realitinya kadar caj yang dikenakan oleh doktor di hospital dan klinik berkenaan tidak pernah naik sejak 32 tahun lalu.
Ini disebabkan kadar caj konsultasi doktor (GP) swasta dikawal oleh Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (PHFSA) 1998 tidak mengalami sebarang perubahan selama lebih 32 tahun.
Ini menyebabkan pihak terbabit terpaksa menaikkan caj kos operasi yang semakin meningkat, termasuk sewa premis, kos utiliti, peralatan perubatan serta perbelanjaan berkaitan teknologi dan sumber manusia telah meletakkan tekanan besar ke atas klinik swasta.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Kaira berkata, yuran doktor ditetapkan di bawah Jadual Bayaran Ketujuh Akta dan tidak boleh dinaikkan sesuka hati.
Katanya, dengan kos operasi yang tinggi dan yuran GP yang tidak berubah selama lebih 30 tahun, mencari jalan untuk mengurangkan caj rawatan akan menjadi satu cabaran yang besar.
“Walaupun begitu, kadar yuran yang kekal sama sejak lebih tiga dekad lalu telah menyukarkan penyedia perkhidmatan kesihatan untuk terus beroperasi secara mampan.
“Keadaan ini menjadi cabaran besar bagi pengusaha klinik swasta. Banyak klinik terpaksa menutup operasi dalam tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Dr. Kalwinder berkata, situasi tersebut turut diburukkan oleh isu berkaitan Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) yang menguruskan pembayaran bagi pesakit yang mempunyai insurans kesihatan.
Katanya, peranan TPA biasanya mempengaruhi amalan doktor perubatan swasta, struktur pembayaran dan mengurangkan margin keuntungan klinik swasta.
“Isu-isu ini telah dibangkitkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan MMA berharap akan ada penyelesaian segera bagi memastikan kelestarian klinik swasta di negara ini.
“Ia merupakan cabaran kepada doktor kerana menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi melibatkan kos yang signifikan.
“Apabila permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan meningkat, kos yang perlu ditanggung juga meningkat,” katanya.
Akhbar ini semalam melaporkan, kos rawatan di kebanyakan hospital dan klinik swasta di negara ini didapati melambung naik bermula November tahun lalu.
Kenaikan kos sehingga melebihi 100 peratus itu turut melibatkan caj ubat ubatan yang tidak sepatutnya dibekalkan kepada pesakit atas alasan sebagai ‘persediaan’ jika alami gejala lain.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Mohd Ismail Ibrahim berkata, kawalan harga dapat melindungi pesakit daripada caj yang tidak munasabah terutama golongan B40 dan M40.
Bagaimanapun, katanya, kawalan harga terlalu ketat boleh memberi kesan negatif kepada fasiliti perubatan swasta termasuk mengurangkan keupayaan untuk melabur dalam teknologi terkini atau menarik tenaga kerja profesional yang berkualiti.
“Penglibatan pihak ketiga seperti syarikat insurans atau organisasi pengurusan penjagaan atau Managed Care Organizations (MCO) dalam proses kawalan harga.
“Melalui rundingan antara fasiliti perubatan, pihak insurans dan MCO, harga rawatan boleh disesuaikan agar lebih telus dan fleksibel,” katanya.
Katanya, syarikat insurans boleh membantu menetapkan harga siling bagi perkhidmatan tertentu bagi mengelakkan caj berlebihan.
Malah, MCO pula dapat memantau tuntutan dan memastikan pesakit menerima rawatan diperlukan tanpa sebarang pembaziran sumber.
“Pendekatan kawalan harga fleksibel ini bukan sahaja melindungi pesakit daripada risiko kewangan, tetapi memberi ruang kepada fasiliti swasta untuk terus berinovasi dan meningkatkan mutu perkhidmatan.
“Dengan adanya penglibatan pihak ketiga yang bertindak sebagai pengimbang antara kos dan keperluan pesakit, sistem penjagaan kesihatan swasta dapat menjadi lebih inklusif dan mampan dalam jangka masa panjang,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr. Boi Saidi Abd. Razak berkata, cadangan KKM mewajibkan klinik GP memaparkan harga ubat di klinik menerusi katalog, papan kenyataan atau platform atas talian perlu dinilai semula secara menyeluruh. – UTUSAN










