Jadikan puasa amalan organisasi - Utusan Malaysia

Jadikan puasa amalan organisasi

BANYAK kelebihan apabila para pekerja kerap berpuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BERPUASA mempunyai banyak kesan positif termasuk membuka peluang kepada transformasi diri yang melibatkan cara bekerja yang lebih efisien.

Apabila bekerja dalam keadaan berpuasa, fokus fikiran boleh diletakkan kepada kerja berbanding fikiran kepada hendak makan dan minum.

Fokus yang lebih baik ini dapat meningkatkan kualiti kerja. Kerja boleh dibuat dengan lebih teliti dan dapat menyemak kerja sehingga memberikan hasil terbaik.

Konsep berpuasa juga tidak hanya berlapar dan dahaga, sebaliknya mata, tangan dan telinga juga ‘berpuasa’. Dengan tidak melihat perkara yang ditegah, tidak mendengar gosip yang bercampur fitnah dan tidak pula curi tulang semasa bekerja, pekerja menjadi lebih berintegriti dalam menjalankan tugas.

Sedar atau tidak, berpuasa juga mendidik kita soal ketepatan masa. Waktu imsak perlu dipatuhi agar tidak lewat, manakala waktu berbuka pula amat digalakkan untuk ditepati.

Pekerja yang peka soal ketepatan masa akan mewujudkan cara kerja yang berdisiplin dan tidak bertangguh-tangguh atau lewat menyiapkan kerja.

Berikutan, banyak kebaikan berpuasa maka puasa sunat boleh diinstitusikan sebagai satu amalan organisasi, khususnya buat pekerja beragama Islam.

Menginstitusikan amalan berpuasa sunat dapat membentuk persekitaran soleh dalam pekerjaan kerana setiap orang Islam didorong untuk mengamalkan ibadah ini.

Sehingga kini, amat jarang kita mendengar puasa sunat diinstitusikan sebagai satu amalan organisasi. Ini mungkin berlaku kerana puasa sunat dianggap pilihan peribadi.

Tetapi, dengan galakan berterusan melalui siri kempen yang berterusan, para pekerja Muslim akan terdorong mengamalkan puasa sunat ini seperti puasa hari Isnin dan Khamis.

DR. MUHAMMAD ABD. HADI BUNYAMIN
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×