Dua beradik cipta aplikasi bantu adik autistik berkomunikasi

Dua beradik cipta aplikasi bantu adik autistik berkomunikasi

Ilzymanshah Kamarudin (kiri), Irhamshah Kamarudin (tengah) dan Muhammad Husaini (kanan) mempamerkan aplikasi @Messeger di Minggu Inovasi dan Teknologi Singapura. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASA sayang terhadap si bongsu, Ilhanshah Kamarudin, 11, yang tidak berupaya bertutur dengan lancar kerana didiagnos dengan gangguan spektrum autisme (ASD) begitu besar sehinggakan dua abangnya, berikhtiar untuk menghasilkan satu aplikasi cukup unik.

Inovasi moden dipanggil @Messenger itu dihasilkan oleh Ilzymanshah Kamarudin, 21, dan Irhamshah Kamarudin, 19 tahun.

Menurut laporan portal Berita MediaCorp nukilan Syazwani Sanep, fungsi aplikasi itu sama seperti WhatsApp atau Telegram tetapi ia menggunakan gambar dan audio.

Ilzymanshah menjelaskan kepada kru Nadi Kampus bahawa kepingan kertas yang digunakan adiknya sebelum ini dikenali sebagai alat komunikasi augmentatif dan alternatif (AAC).

Namun menurutnya, kaedah tersebut semakin tidak berkesan sedang Ilhanshah membesar dan kosa kata yang diketahui tidak semuanya tersedia dalam bentuk gambar.
“Kosa kata dan bahasanya memang bertukar-tukar. Kalau kami mahu tukar buku kecilnya, harus sunting lagi, cetak lagi,” terang Ilzymanshah yang merupakan anak ketiga dalam keluarga.

Lulusan Politeknik Singapura itu juga mahu Ilhanshah belajar berdikari dan kekal berhubungan dengan ibu bapa mereka ketika berada di luar.

Belia itu lantas memanfaatkan segala pengetahuan dan pengalaman yang diraih daripada pengajiannya dalam Diploma Reka Bentuk Pengalaman Pengguna Berkomunikasi untuk mencipta @Messenger.

Aplikasi tersebut diusahakan sejak Jun lalu di bawah syarikat pemulanya, Assistive Technologies bersama rakan mereka, Muhammad Husaini, 21 yang turut membantu dalam pembangunannya.
Ilhanshah pada umumnya boleh menggunakan papan kekunci yang dipenuhi dengan ikon gambar untuk mengirimkan apa yang ingin dikatakan.

Menariknya, mesej itu akan diubah kepada format teks buat si penerima dan apabila penerima membalas dalam bentuk teks pula, Ilhanshah akan menerimanya dalam bentuk ikon gambar ataupun audio.

Pada awalnya, Ilzymanshah membangunkan aplikasi @Messenger kerana rasa tanggungjawabnya sebagai seorang abang.

Pelajar itu bahkan sanggup membelanjakan ratusan dolar daripada koceknya sendiri untuk membiayai segala kos mencipta aplikasi itu.

 

 

“Namun semakin kami menggunakannya, kami nampak ada potensi untuk aplikasi ini dimanfaatkan keluarga lain, terutama sekali mereka yang tidak mampu mendapatkan aplikasi dan platform yang mahal sekarang,” katanya.

Ilzymanshah turut memastikan @Messenger yang dicipta dapat dimuat turun ke dalam semua peranti Android dan iOS supaya dengan cara ini, keluarga kurang berkemampuan tidak lagi perlu membelanjakan kos tambahan.

Inovasi itu dilaporkan turut berjaya menerima geran berjumlah 50,000 dolar Singapura (RM164,250) daripada VentureForGood (VFG) EnergiSE kendalian raiSE bertujuan menyokong syarikat pemula yang berusaha membawa kesan sosial yang positif.

Mereka juga menanam harapan untuk bekerjasama dengan sekolah pendidikan khas tempatan seperti Sekolah AWWA dan Sekolah Pathlight agar aplikasi itu dapat disertakan dalam kurikulum pelajar.

“Harapan saya adalah bagi aplikasi ini digunakan oleh semua orang, bukan sahaja mereka yang kurang upaya, tetapi orang-orang lain pun, untuk berhubung dan berkomunikasi dengan sesiapa yang mungkin mengenali seseorang yang sukar bertutur.

“Berikanlah peluang dan alat untuk bertutur dan berkomunikasi dengan mereka,” kata Ilzymanshah.
@Messenger boleh didapatkan pada harga $20 dolar Singapura (RM66) setahun atau $1.99 dolar Singapura (RM6.53) sebulan dan dijangka boleh dimuat turun daripada Google Playstore dan Appstore bermula Januari tahun depan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×