Buntu fikir nasib suami, keluarga

Buntu fikir nasib suami, keluarga

ASNISAH Mat Dini (kiri) buntu memikirkan nasib suami yang sudah dua tahun koma akibat kemalangan pada 30 Oktober 2022. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Pada 30 Oktober lalu, genap dua tahun Azhar Samsudin, 59, koma akibat kemala­ngan jalan raya ketika pulang dari tempat kerja di sebuah kilang di bandar ini.

Dalam tempoh itu, isterinya, Asnisah Mat Din, 55, setia di sisi suami tercinta dan tidak pernah putus harapan agar Azhar kembali sedar di rumah mereka di Kampung Parit Te­ngah, di sini.

Katanya, dia sudah kering air mata meratapi kesedihan bagi mengenangkan masa depan yang suram dan kehidupannya kini berubah sepenuhnya selepas kemalangan itu.

“Kemalangan itu meragut kebahagiaan dan punca pendapatan suami sebagai house keeping di Hicom Pekan. Saya terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu jualan di kantin sekolah untuk bersama di sisi suami setiap masa yang menghadapi dugaan cukup hebat akibat kemalangan.

“Kehidupan kami sekeluar­ga berubah 100 peratus sejak ketua keluarga koma akibat kemalangan jalan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Asnisah berkata, suaminya kini dikategorikan orang kelai­nan upaya (OKU) fizikal kerana koma dan tiada tempurung kepala yang terpaksa dibuang akibat kemalangan itu.

“Kesan hentakan kuat menyebabkan tempurung kepala­nya remuk dan ada pendarahan dalam otak. Apabila sedar sesekali, dia sudah tidak kenal orang termasuk keluarga terdekat. Dia kini ibarat seorang bayi kecil yang perlu perhatian,” katanya.

Dia yang tidak bekerja buntu kerana suami memerlukan susu khas, suplemen, oat, lampin pakai buang, tisu basah dan katil boleh ubah untuk keselesaannya yang terlantar 24 jam sehari di katil.

“Suami memerlukan seku­rang-kurangnya enam susu khas jenama Ensure Gold berperisa vanilla, lima lampin pakai buang sebulan dan lain-lain dengan kos kira-kira RM3,000 sebulan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Asnisah di talian 01165175194 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0600241100012491. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×