SEREMBAN: Seorang bapa kepada tiga orang anak bersyukur dibebaskan lebih awal daripada menjalani hukuman penjara selama 10 bulan selepas terpilih dalam program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).
Berusia 36 tahun, banduan dikenali sebagai Azhar, mengakui mahu menggunakan peluang yang diberi untuk memulakan kehidupan baharu serta bertekad tidak lagi terbabit dengan dadah punca dia meringkuk dalam penjara.
“Jika diikutkan, hukuman penjara saya lama lagi namun saya bersyukur diberi peluang kali ini. Saya kesal kerana mengulangi kesalahan berulang menyebabkan saya masuk dalam penjara.
“Ini adalah kesalahan ketiga saya berkaitan dadah dan kali ini saya tekad untuk berubah demi keluarga, dengan peluang diberikan ini menambahkan lagi keazaman saya untuk terus berubah,” katanya ditemui pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Di Nanti) sempena Perayaan Krismas Tahun 2024 di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin di sini, semalam.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar.
Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Sembilan, Ahmad Mustaqim Che Bisi berkata, seramai 41 prospek dari Penjara Negeri Sembilan telah terpilih setelah melalui beberapa tapisan dan layak dipertimbangkan untuk mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti sehingga dibebaskan.
“Hasil inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu pihak industri untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, malah akan berupaya mengurangkan stigma negatif masyarakat terhadap banduan,” katanya.
Seorang majikan yang juga pengurus restoran, Hairoi Izzat Jumah, 29, memberitahu, restorannya antara yang paling awal mendapatkan khidmat pekerja dalam kalangan bekas banduan.
“Sejak 2015 pihak kami telah mengambil pekerja seramai 200 orang dalam kalangan banduan yang mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti.
“Hari ini (semalam) kami menerima sembilan pekerja (banduan yang terpilih) bekerja di kedai makan kami. Alhamdulillah setakat ini mereka semua bekerja dengan baik dan boleh memberi kerjasama,” katanya. – UTUSAN











