ZAKAT yang digariskan sebagai rukun Islam keempat secara maknawinya, memainkan peranan yang besar dalam membantu kelangsungan hidup masyarakat sejagat.
Terutamanya, memberi impak positif dalam tiga aspek utama iaitu ekonomi, sosial dan pendidikan.
Peranan ibadah zakat dalam tiga aspek ini telah mewujudkan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat untuk membentuk masyarakat yang berjaya dan berdaya saing serta menjamin masa depan yang lebih sejahtera.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) adalah badan yang mengurus tadbir pembayaran zakat secara konsisten dan agihan yang adil serta efisien kepada individu yang berkelayakan untuk menerima zakat.
Tujuannya untuk memastikan wujudnya keseimbangan jurang sosial dalam masyarakat hari ini.
Bagi meraikan 30 tahun yang gemilang, LZS mengadakan Pameran 30 Tahun Jubli Mutiara organisasi tersebut dalam usaha memperkasa komuniti di negeri ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya,Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini, pameran tersebut menggunakan konsep bahtera sebagai simbol perjalanan LZS selama tiga dekad.
“Ia menggambarkan sebuah kapal yang kuat dan teguh belayar membawa harapan dan bantuan kepada mereka yang memerlukan (asnaf).
“Bahtera ini menjadi lambang dedikasi LZS menghadapi segala cabaran dan terus berusaha menyantuni golongan asnaf serta memberi perkhidmatan terbaik kepada pengeluar zakat di negeri ini,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian yang disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda di Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam di Seksyen 13 Shah Alam, baru-baru ini.
LZS yang merupakan agensi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang ditubuhkan pada tahun 1994, begitu sinonim dengan pengurusan zakat di negeri Selangor.
‘JALINAN HARAPAN’
Mohd.Sabirin berkata, pameran yang membawa tema ‘Jalinan Harapan, Membangun Kehidupan’ berlangsung sepanjang bulan ini dari pukul 10 pagi hingga pukul 6 petang di perpustakaan tersebut.
“Selain menjadi platform untuk mengetengahkan perjalanan 30 tahun LZS dalam menyantuni masyarakat, khususnya golongan asnaf, ia turut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan zakat sebagai pemangkin pembangunan ummah.
“Pameran ini bukan sekadar mengenang sejarah, tetapi juga mencerminkan komitmen berterusan LZS untuk memacu pembangunan komuniti melalui pelbagai inisiatif strategik yang dilaksanakan sepanjang tempoh penubuhannya,”katanya.
Tambahnya, suatu masa dahulu LZS hanyalah satu titik kecil dalam peta kewangan Islam dan institusi kebajikan di rantau ini, namun kini semua pihak telah mula membuka mata.
Lebih-lebih lagi, orang-orang yang berkemampuan melihat LZS sebagai tempat untuk mereka mensucikan harta mereka, manakala bagi yang kurang berkemampuan menjadikannya sebagai dahan untuk mereka berpaut.
“Rakan-rakan di Institusi Islam lain pula melihat LZS sebagai teman untuk menjayakan agenda kebajikan dalam bidang kewangan,sosial dan lain-lain.
“LZS kini menjadi jambatan di antara muzakki (pembayar zakat) dan mustahiq (asnaf) dalam memastikan semua pihak mendapat kebaikan dan manfaatnya.
“Di sebalik kejayaan ini, LZS amat terhutang budi dengan semua pihak yang tidak henti-henti mendokong LZS selama ini,”ujarnya.
Katanya lagi, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung pada semua peringkat umur pada pameran berkonsep bahtera yang julung-julung kali diadakan.
Orang ramai boleh melawat reruai bagi mendapatkan informasi berkaitan perkhidmatan LZS, kuiz interaktif, pertandingan mewarna, program Start With Sepuluh serta sesi bercerita yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan zakat.
SISTEM AGIHAN ZAKAT
Sebagai institusi zakat yang memegang amanah, LZS mempunyai motto ‘Meneraju Perubahan’ terus komited menguruskan dan memanfaatkan potensi kutipan zakat serta memastikan pengagihan zakat yang dilaksanakan selaras dengan tuntutan syarak.
LZS diperkukuhkan operasinya, dengan tenaga kerja lebih 400 orang serta disokong dengan cawangan-cawangan LZS di seluruh negeri yang menjalankan amanah sebagai amil dan amilin.
Mereka dilatih untuk integriti, jujur dan telus dalam melaksanakan tanggungjawab.
Sepanjang tempoh tiga dekad penubuhannya, badan itu mula mengutip sebanyak RM16 juta pada tahun pertama dan kutipan semakin meningkat melebihi RM1 bilion pada tahun 2022 dan 2023.
Ia membolehkan pengurusan dilaksanakan dengan cemerlang selain mempergiat gerak kerja dakwah bagi memastikan lebih ramai masyarakat menunaikan rukun Islam ke empat ini.
Manakala, sistem pengagihan zakat juga ditambah baik agar menyeluruh dan berkesan kepada lapan asnaf yang ditetapkan dalam Al Quran melalui lima program pembangunan utama asnaf iaitu
Program Pembangunan Sosial, Pendidikan, Ekonomi, Insan dan Pembangunan Institusi Agama.
Badan itu juga mengamalkan pengurusan terbaik dalam menjana dan memartabatkan kecemerlangan bukan sahaja asnaf, malah ummah secara keseluruhannya.
Ramai usahawan yang berdaya maju dilahirkan, anak-anak asnaf cemerlang dalam pendidikan dapat menyambung pengajian, keluarga mempunyai tempat perlindungan yang selesa serta membantu meringankan beban kos perubatan.- UTUSAN











