DUNIA masakan sudah sebati dengan cef remaja, Danish Harraz Abd. Hafiz, 17, kerana sejak kecil masanya banyak dihabiskan di dapur.
Jika kanak-kanak lain leka bermain alatan permainan, namun lain buatnya yang mampu menghasilkan spagetti bolognese dan puding karamel, di usia seawal enam tahun.
Setahun kemudian, dia memberanikan diri membuka perniagaan atas talian yang dikenali sebagai Danish’s Red Kitchen.
Walaupun meningkat remaja, namun minatnya pada masakan tidak pernah padam dan masih berterusan hingga kini.
Kelebihannya terletak pada resipi-resipi anti gagal yang dikongsikan secara percuma di platform media sosial.
Katanya, perkongsian itu secara tidak langsung memudahkan masyarakat untuk menyediakan hidangan air tangan sendiri di rumah.
“Dalam masa sama, saya berharap usaha ini dapat membuka peluang buat ramai individu untuk menjana pendapatan.
“Siapa tahu daripada resipi-resipi yang dikongsikan itu, mungkin dapat dijadikan produk jualan untuk segelintir pihak,” katanya.
Terbaharu, Danish Harraz turut merintis inisiatif amal bagi membantu golongan memerlukan termasuk pelajar dan keluarga asnaf.
Katanya, keuntungan perniagaannya disalurkan ke platform Danish’s Love & Support.
“Saya mahu memberi kembali kepada masyarakat. Kekuatan yang dimiliki dalam dunia masakan ini akan digunakan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.

Belajar memasak sendiri
Menelusuri perjalanannya dalam bidang ini, Danish Harraz mengakui tidak pernah mengikuti sebarang kelas memasak.
Kemahiran dan bakat luar biasanya diasah menerusi video-video di Youtube dan maklumat di Google.
Kejayaan itu banyak dipengaruhi oleh sokongan ibu bapa yang memberinya kebebasan untuk meneroka dapur.
Apa tidaknya, di usia tiga tahun, dia menjadi pembantu ibunya di dapur dengan tugasan mudah seperti memotong sayur dan mengupas bawang menggunakan pisau plastik.
“Akhirnya saya minta kebenaran untuk memasak dan membakar sendiri. Peranan ibu cuma menyediakan segala bahan dan keperluan berdasarkan resipi pilihan saya.
“Kadang-kadang, saya buat resepi sendiri dan kalau tak menjadi, saya cuba lagi hingga saya puas hati dengan hasilnya,” katanya.
Cabaran
Walaupun popular sejak kecil, namun Danish Harraz tidak terlepas daripada cabaran.
Di awal kerjayanya, dia mendedahkan yang tidak semua orang menghargai atau meraikan kebolehannya.
“Tetapi saya bersyukur kerana dikelilingi pengikut yang baik dan sentiasa memberi semangat serta nasihat.
“Saya memilih untuk kekal positif dalam apa jua keadaan, terus melangkah dengan apa yang saya lakukan hingga ke hari ini, selagi diizinkan Allah,” katanya.









