Semua parti berhak tuntut jawatan dalam PN – Peja

Semua parti berhak tuntut jawatan dalam PN – Peja

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mana-mana parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) berhak menuntut sebarang jawatan utama tidak kira Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas mahupun Gerakan.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, semua jawatan dalam PN itu adalah kebersamaan sebagai satu entiti dan jawatan tersebut tidak mewakili parti-parti secara berasingan.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu perlu dibuat menerusi saluran yang betul iaitu dalam mesyuarat PN itu sendiri yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PENDIRIAN

“Semua parti komponen berhak menyatakan kehendak masing-masing, namun dan untuk menyatakan pendirian kehendak masing-masing itu perlu dibuat menerusi saluran kepimpinan PN itu sendiri.

“Bersatu tidak pernah melihat PN sebagai entiti yang asing. Apabila bekerja dalam satu gabungan iaitu PN, kita tidak anggap parti komponen itu asing, malah kita anggap komponen itu sebagai satu iaitu PN.

“Jadi, hal sebegini, kita tidak perlu bincang di luar untuk menggunakan media atau sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, mesyuarat Majlis Tertinggi PN mengesahkan pelantikan enam jawatan pen­ting parti berkenaan iaitu Setiausaha Agung, Ketua Wa­nita, Ketua Penerangan dan Ahli Majlis Tertinggi gabungan itu.

Mesyuarat itu turut me­nyaksikan Bersatu mengekalkan kesemua enam jawatan utama dalam gabungan PN.

Dalam keadaan itu, tindakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas melepaskan jawatan Bendahari Agung PN menimbulkan persoalan tentang krisis dalam gabungan tersebut.

LEMAH

Ahmad Faizal menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan Bersatu semakin lemah sehinggakan Pas menuntut lebih jawatan dalam PN.

“Tidak, itu tidak betul (Bersatu lemah), sebaliknya Bersatu semakin bertambah baik selepas selepas pemilihan, banyak kepimpinan bahagian menambah ahli dan cawangan yang kita lihat berlaku dengan ketara sekarang.

“Pandangan yang mengatakan konflik antara Bersatu dan Pas tidak betul sebab ia tidak berlaku. Jadi memang tidak ada pun perkara yang boleh menyebabkan krisis di antara kami.

“Demi Allah, hubungan kami memang tidak ada masalah, ia berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) yang tidak menghormati rakan dalam Kerajaan Perpaduan, sanggup hendak curi ahli dalam parti kawan mereka sendiri,” ujarnya.

Katanya, mesyuarat PN dija­dualkan Januari tahun hadapan bagi membincangkan isu-isu berbangkit serta strategi me­ngukuhkan parti dan persediaan menghadapi pilihan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN