SEREMBAN: Lebih 6,000 pengusaha bas dan van sekolah di negara ini dinasihatkan supaya berbincang terlebih dahulu dengan ibu bapa dan penjaga sebelum membuat keputusan menaikkan harga tambang perkhidmatan tersebut.
Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd. Rofik Mohd. Yusof berkata, sebarang caj yang dikenakan mesti berpandukan kepada situasi menang-menang iaitu kepada pengusaha dan ibu bapa.
“Bincang dahulu dengan ibu bapa, mahu naik RM5, RM1 atau RM100 sekali pun, mesti bincang, kalau ibu bapa setuju tiada apa sebarang isu.
“Tambang bas sekolah adalah tambang yang diregulasikan oleh kerajaan, jadi mesti ada perbincangan bersama ibu bapa dan pengusaha. Kita tidak mahu nanti ada rungutan dari mereka yang tidak tahu berlakunya kenaikan tersebut dan pengusaha sesuka hati menaikkan tambang, itu juga tidak boleh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Beliau mengulas laporan akhbar ini semalam bahawa tambang bas sekolah dijangka meningkat antara RM10 hingga RM20 menjelang sesi persekolahan tahun hadapan.
Peningkatan itu disebabkan kos penyelenggaraan yang semakin tinggi, termasuk harga alat ganti serta pelaksanaan kadar gaji minimum baharu.
Mohd. Rofik turut berpandangan, sama ada terdapat keperluan kenaikan itu dilakukan adalah bergantung kepada keadaan semasa yang dihadapi oleh pengusaha ketika ini.
“Bas sekolah ini mendapat subsidi diesel cuma pengusahanya terpaksa menampung kos penyelenggaraan termasuk harga tayar dan ala-alat ganti, itu yang mereka tidak boleh tahan. Ini ditambah dengan gaji minimum pemandu yang perlu dinaikkan. – UTUSAN











