Seperti biasa pada setiap Rabu akan diadakan Persidangan Kasim-kasim. Semua Kasim di kampung tersebut berkumpul bagi membincangkan tentang hal ehwal penduduk kampung. Kasim-kasim yang hadir merupakan lantikan pilihan hati warga kampung.
Mereka menjadi wakil kepada penduduk Kampung Anta Berantah. Kampung Anta Berantah suram dan kelam sahaja jika dilihat di bentangan peta dunia. Sempadan geografinya kelihatan sipi-sipi sahaja. Lokasinya yang sebenar seakan-akan misteri.
Pengerusi Persidangan Kasim-kasim duduk bersandar di kerusi yang empuk. Profesor Kasim Takiman berwajah tenang. Beliaulah pengerusi paling bijaksana dalam kebanyakan penggal persidangan. Sentiasa bertawaduk dan tidak mudah melatah. Sesuai dengan gelaran profesor yang disandangnya.
“Belum pernah berlaku dalam sejarah, imam menunggu makmum,” bisik Profesor Kasim Takiman kepada Kasim Mahmad yang duduk di sebelah kanan meja persidangan. Sesuai dengan gelarannya sebagai otak kanan Kasim Takiman. Kasim Mahmad melemparkan senyuman kecil. Dia sudah lali dengan perangai ahli sidang. Kelewatan itu biasa. Yang luar biasa kalau tercepat.
“Tiap-tiap Rabu, beginilah adanya, Prof.,” keluh Kasim Mahmad ringkas.
Kasim Mahmad seorang pemikir dan penulis. Apa sahaja yang terlintas di fikirannya akan dicatatkan dalam buku notanya. Kasim Mahmad menjadi setiausaha kehormat seumur hidup dalam persidangan para Kasim. Semua ahli sidang sangat menghormati Kasim Mahmad. Dia paling cerdik dalam kalangan Kasim-kasim yang lain.
Pintu dewan persidangan dikuak dari luar. Pintu kayu yang berukiran awan larat bagai tidak larat ditolak oleh Kasim Selamat. Dia membimbit sebuah loyang yang bertiub dengan pemipit di hujungnya yang berbentuk seperti loceng. Loyang itu mempunyai lubang-lubang yang dilitupi tuas yang Kasim Selamat sebut sebagai kekunci. Boleh ditiup dan dimainkan pelbagai lagu.
“Ada lagu barukah, Kasim Selamat?” Soal Kasim Takiman sekadar berbasa-basi.
“Ilham belum muncullah, prof. Saksofon ini sengaja kubawa. Manalah tahu jika ada permintaan untuk aku mainkan.” Kasim Selamat meletakkan punggungnya di kerusi paling kiri di sebelah Kasim Takiman.
Dewan persidangan sudah mula dipenuhi oleh ahli sidang lain. Kasim Pantelon yang bermisai kontot mencuit bahu Kasim Selamat. Jabat bersalam. Kasim Pantelon mengambil tempat di sebelah Kasim Mahmad.
“Kasim Pantelon apa khabar hari ini?”
Kasim Pantelon angguk saja bagi menjawab pertanyaan Kasim Takiman. Kasim Panleton tidak hadir pada persidangan lepas. Khabarnya mengiringi tuan besarnya, Sadiq Siap Siaga ke luar negara atas urusan rasmi.
Pertemuan dengan diplomat asing sudah menjadi agenda tetap bagi tuan besar Sadiq Siap Siaga. Kasim Pantelon menjadi penasihat tetap dan berpencen. Khabarnya tidak diberikan gaji, sekadar upah sagu hati sebanyak dua puluh lima persen.
Kasim Baba menjadi orang terakhir yang memenuhi kerusi di dalam dewan persidangan. Selain terjebak dalam politik kampung, Kasim Baba juga merupakan ahli perniagaan tersohor. Orang kampung menggelarnya sebagai saudagar angin lintang. Bisnesnya umpama mimpi dalam mimpi. Ada macam tiada. Tahu-tahu untung sahaja.
Syarikat Modal Insan yang diterajuinya membekalkan produk insan bermutu tinggi, import dari luar negeri dengan pelbagai hierarki. Hidupnya mewah sebaik sahaja dia berkahwin dengan
Aloya-anak orang ada-ada. Itu pun dirasakan hartanya belum mencukupi.
Kasim Mahmad memberi isyarat kepada Kasim Takiman untuk memulakan persidangan. Kelewatan bermula akan menyebabkan kelewatan berakhir. Kasim Takiman membuka ucapan alu-aluan.
Beliau mengingati ahli sidang agar mematuhi fatwa persidangan. Sentiasa bersopan santun dan menjaga adab dalam segenap hujah. Mengikut arahan pengerusi dan tidak menimbulkan provokasi. Jangan menangguk di air keruh!
Kasim-kasim yang lain kelihatan faham. Mengangguk dan bersetuju. Kasim Mahmad setia mencatatkan butir bicara pengerusi. Dia memang tidak banyak bercakap sementelah dia seorang pemikir dan penulis. Setiap kali selesai persidangan kebiasaannya Kasim Mahmad berjaya menghasilkan karya terbaharu. Jika tidak melahirkan cerpen pasti akan ada puisi yang terpapar di media arus perdana. Begitulah dia yang prolifik menulis. Orang kata, darahnya jenis Usman Awang.
Kasim Selamat bangun memulakan pidatonya. Saksofonnya disandarkan di dinding di belakangnya. Dia boleh sahaja meninggalkan loyang yang bertiub dan berlubang itu di rumahnya namun dia lebih gemar membawanya bersama-sama sebagai identiti dirinya.
Pada waktu senggang persidangan biasanya Kasim Selamat akan memainkan saksofonnya di lobi dewan persidangan sebagai hiburan santai. Lagu yang paling popular sudah tentulah lagu seniman agung P. Ramlee, “Jangan Tinggal Daku”. Seperti mana tajuk lagu itu, sama jugalah dengan keadaan dirinya yang bimbang ditinggalkan oleh orang kampung. Bimbang sungguh jika dia tidak lagi menjadi pilihan hati orang kampung.
“Tuan pengerusi, saya mohon dewan persidangan meluluskan usul yang saya bentangkan ini.” Tuan pengerusi angguk dan mempersilakan.
“Kasim-kasim sekalian. Saya mengusulkan agar SST dalam bidang seni yang dirancang pada tahun hadapan tidak diteruskan pelaksanaannya. Pendapatan anak seni tidak seberapa dan jika ditambah dengan SST akan menambah lagi beban kami.”
“Tapi saya difahamkan royalti Kasim Selamat melebihi pendapatan Biduanita Negara! Apa salahnya SST dianjurkan bagi menampung keperluan ekonomi?” Kasim Baba bangun menyampuk. Kasim Selamat terkeseng-keseng.
“Eeerrr… itu dulu!” Teragak-agak Kasim Selamat membidas kata-kata Kasim Baba.
“Kita perluklan SST dalam setiap cabang bisnes. Jika seni itu diangkat sebagai bisnes, sewajarnya dikenakan SST sama seperti barang dagangan yang lain! Bukan banyak pun, satu sen saja!”
Kelantangan Kasim Baba mendapat tepukan meja daripada ahli sidang lain.
“SST itu apa?” bisik Kasim Pantelon di telinga Kasim Mahmad.
“Satu Sen Tanggung,” Kasim Mahmad membalas bisikan di telinga Kasim Pantelon. Nampak sangat Kasim Pantelon tidak peka dengan senario ekonomi semasa.
“Mohon hal ini dibawa ke pengetahuan Tuan Sadiq Siap Siaga,” ujar Kasim Selamat lalu meletakkan punggungnya di kerusi dengan kedap seolah-olah bimbang kerusinya terlepas.
“Tuan pengerusi, kita sedia maklum kehadiran ahli sidang dalam setiap persidangan diberikan elaun yang cukup besar. Kita diminta memajukan masalah orang kampung dan menyelesaikannya dalam persidangan yang mulia ini. Ahli sidang seperti Kasim Pantelon tidak mendatangkan faedah.
“Sejak bermulanya penggal Persidangan Kasim-kasim, Kasim Pantelon tidak pernah membahaskan sebarang isu sedangkan kita tahu orang kampung di kawasannya sedang lelah dengan capaian internet yang sangat mendukacitakan. Banyak bisnes dalam talian terganggu kerana masalah ini. Masalah banjir besar yang memberi tekanan kepada penduduk kampung juga tidak diselesaikan dengan baik. Lagi pun Kasim Pantelon masih didakwa atas pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa. Walaupun pihak mahkamah belum memutuskan beliau bersalah atau tidak, beliau sepatutnya direhatkan sementara daripada menghadiri persidangan ini.”
Kasim Pantelon mula berang dengan hujah Kasim Baba. Dia seakan-akan mahu bangkit membidas tetapi Kasim Baba lebih pantas menyambung bahas.
“Upah dua puluh persen kepadanya dinaikkan kepada dua puluh lima persen, tanpa usaha menyelesaikan masalah penduduk kampung.
“Saya yang terpaksa memberikan kemudahan tambahan kepada orang kampung. Mujurlah Syarikat Modal Insan mampu menampung keperluan rencam orang kampung. Saya akan tuntut semula modal yang telah syarikat laburkan.” Begitulah Kasim Baba yang tetap dengan perangainya yang buruk siku.
“Sidang bersetuju keahlian Kasim Pantelon digantung atau dibekukan jika kehadirannya dalam setiap persidangan tidak memberi manfaat kepada orang kampung. Bagaimanapun, sidang ini memberi peluang sekali lagi kepada Kasim Pantelon untuk membentang masalah penduduk kampung pada minggu hadapan,” keputusan yang dibuat oleh Kasim Takiman jelas didengari oleh ahli sidang lain.
Kasim Mahmad rancak mencatat sesuatu dalam buku notanya. Kasim Pantelon tersengih-sengih. Sudah begitu hebat dikecam oleh Kasim Baba pun Kasim Pantelon tidak bersuara mempertahankan dirinya.
‘Terpulanglah. Kelak aku tetap juga memperoleh laba dua puluh lima persen daripada Tuan Sadiq!’ Begitulah monolognya sebagai tuan penasihat kepada Sadiq Siap Siaga.
Musuh politiknya menggelarkan dia sebagai Tuan Punah Sihat. Hampir seluruh hasrat orang kampung punah! Namun begitu Kasim Pantelon tidak pernah ambil pusing akan cakap-cakap musuh politiknya. Apabila tiba musim memangkah pilihan hati untuk memilih ahli Persidangan Kasim-kasim, Kasim Pantelon berkempen habis-habisan. Berterabur janji bintang, bulan, matahari.
“Kasim Masdor juga yang bahagia,” ujar Kasim Takiman lalu mengangkat keningnya sekilas memandang Kasim Mahmad di sebelahnya.
Sebelum meninggalkan dewan persidangan, Kasim Takiman membelek-belek senarai kehadiran. Kasim Mahmad memerhati penuh teliti. Nama Kasim Masdor tiada dalam senarai kehadiran.
Persidangan ditangguhkan tepat pada pukul 12 tengah hari. Waktu kelaparan memuncak.
Sebulan selepas itu sebuah sajak nukilan Kasim Mahmad tersiar dalam majalah Dewan Bankuet – “Nyanyian Sinis Orang Ironis”. Sambil mengunyah menu dalam Dewan Bankuet, Kasim Mahmad tersenyum puas. –UTUSAN










