WARSAW: Ketua Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan pemimpin Eropah sedang bersiap sedia untuk membincangkan kemungkinan gencatan senjata di Ukraine, lapor media Poland.
Mesyuarat itu bakal berlangsung Rabu depan di Brussels yang dianjurkan oleh Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte.
Usaha itu akan disertai oleh pemimpin Ukraine, Perancis, Jerman, Itali, United Kingdom (UK) dan Poland bersama ketua-ketua Majlis serta Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU).
Menurut saluran Polish Radio, rundingan itu dijangka memberi tumpuan kepada jaminan keselamatan masa depan untuk Ukraine dan potensi kehadiran tentera pengaman Eropah di negara itu.
Khamis lalu, akhbar harian Amerika Syarikat (AS), The Wall Street Journal melaporkan, Presiden terpilih, Donald Trump mencadangkan kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron supaya tentera Eropah memantau gencatan senjata masa depan di Ukraine.
Pada hari sama selepas pertemuan dengan Macron di Warsaw, Perdana Menteri Poland, Donald Tusk mengumumkan negaranya tidak merancang untuk menghantar tentera pengaman ke Ukraine berikutan kemungkinan gencatan senjata itu.
Dalam pada itu, Komander Tentera Darat Ukraine, Mejar Jeneral Mykhailo Drapatyi dilaporkan merancang transformasi besar-besaran untuk meningkatkan latihan, pengurusan dan pengambilan rekrut baharu ketika Kyiv bergelut dengan masalah kekurangan anggota berpengalaman di barisan hadapan.
Rombakan dilakukan ketika tentera Ukraine yang kehabisan tenaga dan senjata berusaha untuk menghentikan kemaraan Russia di timur yang meraih kejayaan terpantas sejak dua bulan lalu.
Usaha Ukraine untuk merekrut aggota melalui mobilisasi dan pengambilan gaya Barat berdepan kesukaran kerana laporan rasuah, latihan yang lemah dan salah urus yang menjejaskan semangat rakyatnya untuk berkhidmat.
Pihak berkuasa juga sedang bergelut dengan peningkatan ‘pembelot’ apabila tentera barisan hadapan semakin letih dari segi fizikal dan mental akibat peperangan yang berlarutan hampir tiga tahun itu.-AGENSI











