India hasilkan antibiotik baharu tewaskan ‘superbug kebal’

India hasilkan antibiotik baharu tewaskan ‘superbug kebal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTIBIOTIK sering digunakan sebagai superhero dalam bidang perubatan kerana dianggap sebagai barisan pertahanan pertama terhadap jangkitan teruk.

Tetapi kehadiran bakteria yang bermutasi dan mampu menyesuaikan diri dalam tubuh manusia berjaya mengalahkan ubat-ubatan yang direka untuk membunuh mereka dan menyembuhkan jangkitan yang dibawanya.

Menurut jurnal perubatan The Lancet, musuh licik, superbug yang kalis antibiotik sudah menyebabkan 1.14 juta kematian di seluruh dunia pada 2021.

Kebanyakan antibiotik dilaporkan tidak lagi berkesan pada kebanyakan kes melibatkan bakteria E.coli yang biasa ditemui dalam usus manusia dan haiwan selepas pengambilan makanan tercemar dan Klebsiella pneumoniae, yang boleh menyebabkan radang paru-paru dan meningitis.

Antara paling ditakuti adalah kemunculan patogen tahan pelbagai ubat dipanggil Acinetobacter baumannii yang menyerang paru-paru pesakit dengan alat bantuan pernafasan di unit penjagaan kritikal.

India adalah antara negara yang paling teruk dilanda rintangan antimikrob ini.

Pada 2019 sahaja, jangkitan kalis antibiotik menyebabkan kira-kira 300,000 kematian dan menjadi pembunuh utama ke atas hampir 60,000 bayi baru lahir setiap tahun.

Tetapi ubatan baharu yang dibangunkan oleh sekumpulan pakar secara tempatan menjanjikan potensi yang meyakinkan untuk memerangi patogen kebal ini.
Enmetazobactam, yang dibangunkan oleh Orchid Pharma yang berpangkalan di Chennai,adalah antimikrobial pertama dicipta di India dan diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA).

Ubat suntikan ini mampu merawat keadaan yang teruk seperti jangkitan saluran kencing (UTI), radang paru-paru dan jangkitan saluran darah dengan menyasarkan mekanisme pertahanan bakteria, bukannya bakteria itu sendiri.

Bakteria sering menghasilkan enzim seperti beta-laktamase, untuk memusnahkan antibiotik.

Tetapi Enmetazobactam mengikat ketat enzim tersebut, meneutralkannya dan membenarkan antibiotik membunuh bakteria dengan berkesan.

Ringkasnya, ubat itu menumpulkan senjata bakteria tanpa mencetuskan rintangan dengan mudah selain bertindak mengekalkan keberkesanan antibiotik lain, termasuk karbapenem yang merupakan ubat ‘pertahanan terakhir’ yang boleh dipercayai.

Ubat itu telah diluluskan oleh pengawal selia global setelah berjaya melepasi percubaan di 19 negara dengan lebih 1,000 pesakit memperlihatkan keberkesanannya.

“Ubat ini menunjukkan potensi luar biasa terhadap bakteria yang sudah berkembang dan bermutasi selama bertahun-tahun. Ia diberikan melalui infusi intravena [IV] di hospital, khusus untuk pesakit kritikal dan tidak boleh didapati di kaunter,” kata pencipta bersama utama ubat itu, Dr. Maneesh Paul kepada BBC.

Sementara itu, syarikat Wockhardt yang berpangkalan di Mumbai memaklumkan sedang menguji antibiotik baharu dipanggil Zaynich untuk merawat jangkitan teruk.

Dibangunkan selama 25 tahun, ubat itu kini dalam ujian fasa-3 dan dijangka dilancarkan tahun depan.

Pengerusi dan Pengasas Wockhardt, Dr. Habib Khorakiwala menyifatkan Zaynich sebagai antibiotik baharu yang hebat kerana direka untuk memerangi semua superbug utama.

“Ia telah diberikan atas dasar belas ihsan kepada 30 pesakit kritikal di India yang tidak bertindak balas terhadap mana-mana antibiotik lain. Hebatnya, semua terselamat. Kejayaan ini membanggakan seluruh India,” katanya.

Juga dalam ujian fasa-3 adalah Nafithromycin dengan tanda dagang MIQNAF, rawatan oral tiga hari akibat radang paru-paru yang diperoleh komuniti dengan kadar kejayaan sehingga 97 peratus.

Rawatan sedia ada untuk jangkitan bakteria yang menyebabkan penyakit ini mempunyai kadar ketahanan setinggi 60 peratus.

Percubaannya akan berakhir tahun depan dan sebaik sahaja ia diluluskan, Wockhardt berkata, antibiotik itu boleh dilancarkan secara komersial pada akhir tahun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×