NARATIF diolah dengan pelbagai cara mengikut kemahuan dan kemampuan penulis. Zainal Abdul Kadir memilih cara yang telus, tulus dan mudah sebagaimana pengakuannya dalam prakata.
Kumpulan Cerpen Ihsan yang Hilang, antara 100 buah buku yang berjaya diterbitkan menerusi projek penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani (2024).
Zainal mencatat: “Sejak saya menulis cerpen pada tahun 80-an, saya menulis cerita berdasarkan realiti kehidupan.” Zainal menjelaskan lagi, persoalan yang diangkat jelas menggambarkan keadaan masyarakat daripada pelbagai latar belakang. Setiap cerpen ada mesej utama yang membuatkan pembaca berfikir apakah maksud yang tersurat dan tersirat yang ingin disampaikan oleh penulis kepada pembaca.
Pengakuan Zainal dalam prakata buku mencerminkan ketulusan hati seorang pengarang. Tulus yang bagaimana sebenarnya?
Saya mengatakan demikian kerana dalam cerita yang disampaikan terkesan pemikiran dan perasaan watak-watak pilihan Zainal. Selain tulus, Zainal menerusi 15 cerpen memperlihatkan ketelusan pandangannya terhadap persoalan yang sempat singgah pada radar pengalaman dan pemerhatiannya. Keseluruhan cerita disampaikan dalam bahasa mudah, dalam ertikata pembaca dapat mengikuti cerita yang disampaikan, malah faham benar dengan realiti yang ingin didedahkan oleh pengarang.
Dalam cerpen “Bubar” (Mingguan Malaysia, 30 Januari 2022), Zainal memerihalkan watak seorang pemimpin, YB Datuk Sahak. YB yang amat berpengaruh ini digambarkan berdepan dengan situasi kegusaran apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan.

YB Datuk Sahak tentu akan terjebak dalam isu pemilihan calon parti untuk menghadapi pilihan raya DUN. Dalam cerpen ini, Zainal mengetengahkan persoalan tentang punca kegusaran YB Datuk Sahak ekoran kebangkitan aura pemimpin muda di seluruh negara, tidak terkecuali dalam DUN yang dipimpin oleh YB Datuk Sahak sejak beberapa penggal.
Istilah kebangkitan orang muda itu dicatat oleh Zainal sebagai transformasi. Transformasi kepemimpinan, menurut Zainal, berpunca daripada kuatnya pengaruh media sosial dalam kalangan orang muda, selain tahap kelulusan tinggi yang mewarnai citra sebahagian besar pemimpin masa kini. Suasana politik yang condong kepada transformasi kepemimpinan itu disorot oleh Zainal dengan telus dan tulus. Meskipun berjasa besar kepada para pengundi di kawasan DUN yang dipimpinnya, Datuk Sahak akhirnya tersingkir juga.
Cerpen ini terbukti memberikan kesan nostalgia kepada para pembaca yang pernah berkecimpung dalam ranah politik tanah air di pelbagai peringkat.
Menerusi cerpen Rumah (Mingguan Malaysia, 20 Mac 2022), Zainal mengolah kisah yang berkisar dalam sebuah keluarga. Zainal menonjolkan watak Haji Ebrahim, seorang pesara yang berhasrat membangunkan sebuah inap desa, namun tidak dipersetujui oleh isteri dan anak serta menantunya.
Walaupun kisah yang digarap mungkin hanya imaginasi pengarang, tetapi persoalan yang cuba diketengahkan dapat dijadikan ibrah atau iktibar. Betapa kuat pun hasrat Haji Ebrahim mahu membangunkan inap desa berkonsepkan inap desa yang sudah dimajukan di beberapa tempat dalam negara, dia tidak dapat menolak ujian yang ditakdirkan Allah. Zainal bercerita dengan tulus dan telus tentang persoalan bencana alam yang memusnahkan inap desa impian Haji Ebrahim.
Ilham seseorang insan yang bernama pengarang tidak dapat disekat. Pengamatannya dalam, pemerhatiannya luas, sementara penafsirannya tentang sesuatu fenomena atau peristiwa di lingkungan dapat dilihat daripada pelbagai sudut, dengan bermacam gaya atau pendekatan. Demikian yang terlihat pada cerpen ketiga dalam Ihsan yang Hilang.
Pengarang menerusi cerpen Bahasa yang Bagaimanakah Lagi Harus Aku Guna untuk Memujukmu? (Dewan Bahasa, April 2022) memilih gaya catatan harian. Dalam cerpen ini, Zainal mengutarakan dua perutusan yang mudah ditanggapi pembaca. Pertama, secara ironisnya watak “aku” merendahkan dirinya di tahap yang paling bawah, semata-mata mahu memujuk seorang guru, buah hati pengarang jantungnya.
Kedua, “aku” menonjolkan kelebihan buah hatinya secara hiperbola pula. Di antara dua situasi itu, pembaca dapat menanggapi hakikat kepentingan bahasa dalam perhubungan seharian, termasuk faedah mempelajari laras bahasa sastera, selain laras bahasa yang beracuan tatabahasa. Jelas, terlihat bahawa pengarang menggunakan pendekatan dakwah bahasa dalam cerpennya.
Pengarang tentulah telah memilih peristiwa yang terkesan dalam rentetan pengalaman hidupnya untuk diolah dan dikongsikan kepada pembaca. Dalam konteks ini, cerpen yang tersiar dalam akhbar atau majalah berfungsi sebagai penyalur buah fikiran pengarang, sekali gus menjadi penyubur minat membaca khalayak. Jelas, fungsi klasik media akhbar dan majalah terus terserlah jika memilih karya yang terbaik untuk ditatapi pembaca.
Cerpen keempat, Menjadi Sasterawan (Mingguan Malaysia, 29 Mei 2022) disarankan kepada pelajar-pelajar jurusan bahasa dan sastera sebagai cerpen wajib baca. Mengapa timbulnya saranan sedemikian? Hal yang paling ketara dalam cerpen ini adalah pemaparan isu dalam komuniti sastera berhubung tanggapan adanya penulis kayangan dan penulis marhaen. Watak Pak Somad dijadikan lambang keresahan insan penulis akibat karya-karyanya tercicir daripada penilaian. Rahmatan pula mewakili insan penulis angkatan baharu, sangat teruja untuk mendekati Pak Somad yang kaya pengalaman.
Apabila diamat-amati, pengarang barangkali sengaja atau terlupa betapa Pak Somad digambarkan sebagai insan yang berpengetahuan tinggi sebenarnya.
“Kalau tak silap ingatan akulah, teori sastera Melayu itu teori takmilah, teori taabudiyyah dan teori pengkaedahan Melayu…” (Ihsan yang Hilang, h. 35)
Pengucapan dialog sedemikian terlihat ada unsur ironis memandangkan Pak Somad digambarkan sebagai seorang yang tidak berpelajaran tinggi, ketimbang para penulis di luar sana. Tentu sekali pembaca berasa hairan, betapa Pak Somad mampu menyebut nama-nama teori sastera, termasuk juga menyebut kosa kata ‘kronologi’, ‘absurd’ dan ‘konvensional’ dalam ujarannya dengan Rahmatan. Apakah gaya penulisan ini mirip kepada gaya khutbah dalam karya-karya sastera awalan tanah air?
Barangkali, Zainal hanya mahu menzahirkan perasaan kecewa seorang penulis besar yang tercicir karyanya daripada sorotan penilai, sedangkan ilmu sastera yang dimiliki penulis besar itu tetap tinggi. Pembaca berhak menafsir, sementara pengarang terus menukilkan ilham untuk menghiburkan pembaca.
Cerpen-cerpen lain terdiri daripada Pak Cik Samy, Minyak dan Nostalgia (Dewan Siswa, Jun 2022), Sekuntum Ros Merah (Mingguan Malaysia, 4 September 2022), Tuk Aki Pergi Mengundi (Mingguan Malaysia, 6 November 2022), Dia Nak Ikut (Mingguan Malaysia, 22 Januari 2023), AJK Surau (Pelita Bahasa, Februari 2023), Ramadan yang Hilang (Mingguan Malaysia, 9 April 2023),
Ihsan yang Hilang, (Mingguan Malaysia, 16 Julai 2023), Rasialisme (Mingguan Malaysia, 26 November 2023), Sekampit Beras (Mingguan Malaysia, 25 Februari 2024), serta dua cerpen terbaharu
Zainal, Tiru dan Pancung.
Seimbas pandang, Zainal barangkali berpendirian bahawa media penyiar karya juga penting dihargai oleh para pengkarya, selain mutu karya terkawal dari awal oleh keprihatinan pengarang.
Berdasarkan judul-judul cerpen itu, gagasan realiti kehidupan lewat kesemua karya Zainal terbukti ada kebenarannya.
Kesungguhan Zainal sebagai insan sastera yang terus berkarya dan mengongsikan karya-karya yang telus, tulus dan mudah dalam wacana yang tersurat dan yang tersirat di beberapa media arus perdana wajar diteladani para penulis baharu atau penulis pertengahan. Suatu hari kelak, yang baharu dan yang pertengahan akan matang dan tersohor jua.
PENULIS ialah Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)










