SOALAN
Bagaimana cara berdepan dengan rakan sekerja talam dua muka? Depan lain, belakang lain. Bila fikir, rasa nak berhenti kerja, tetapi saya perlukan duit untuk bantu suami.
-Pekerja teraniaya
JAWAPAN
Tanggungjawab mencari nafkah bukanlah kewajipan seorang isteri. Namun keinginan untuk membantu suami adalah sikap yang terpuji.
Bagi menjawab persoalan puan, situasi ini memerlukan pendekatan yang bijaksana agar tidak memudaratkan puan.
Berikut beberapa langkah yang boleh membantu anda menguruskan situasi ini:
a)Berkomunikasi: Komunikasi secara terbuka dengan rakan tentang ketidakselesaan anda. Nyatakan perasaan anda tanpa perlu menyerang peribadi dan fokus kepada isu yang berlaku. Komunikasi baik, dapat menjernihkan ketegangan yang wujud.
b)Tetapkan sempadan: Menetapkan sempadan antara kerja dan kehidupan peribadi. Pastikan anda menghormati diri anda. Jangan biarkan isu di tempat kerja dibawa ke rumah sehingga mengganggu kehidupan rumah tangga. Sempadan ini juga dapat membantu menjaga kesihatan fizikal dan mental.
c)Jaga profesional: Kekal profesional dalam setiap urusan di tempat kerja. Elakkan terbawa-bawa dengan emosi sehingga merosakkan diri.
d)Tambah ilmu pengetahuan: Usahakan menambah ilmu pengetahuan dalam bidang anda. Ia dapat membantu meningkatkan prestasi kerja dan lebih mudah untuk mengatasi konflik di tempat kerja.
e)Merancang kewangan: Sekiranya anda berfikir untuk berhenti kerja. Sediakan simpanan kecemasan dan pertimbangkan untuk mencari sumber tambahan sementara masih bekerja di syarikat sama.
f)Cari sokongan: Dapatkan sokongan daripada bahagian sumber manusia, rakan atau ahli keluarga yang dapat membantu anda menghadapi situasi ini. Berkongsi perasaan dengan individu dipercayai dapat membantu anda lebih celik akal dan mendapat nasihat berguna. Pertimbangkan bantuan kaunselor sekiranya memberi kemudaratan.
g)Inisiatif lain: Jika situasi semakin tegang dan menekan emosi anda, pertimbangkan untuk mencari pekerjaan lain. Mulakan pencarian kerja secara aktif sambil tetap bekerja dengan cara yang profesional demi menjaga pendapatan anda sementara mendapat pekerjaan lain.
Berdepan dengan rakan sekerja bersikap talam dua muka sangat mencabar dan memenatkan emosi. Bagaimanapun, pastikan anda sentiasa tenang dan lapang agar setiap halangan dapat dilalui dengan mudah.










