KOTA BHARU: Penduduk negeri ini yang tinggal di kawasan rendah kekal berada dalam keadaan waspada untuk berdepan gelombang banjir seterusnya yang boleh berlaku pada bila-bila masa memandangkan musim tengkujuh belum berakhir.
Tinjuan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata penduduk belum membuat turun kebanyakan barangan yang disimpan di tempat tinggi kerana ‘idah’ bah belum tamat.
Seorang penduduk dari Kampung Serongga, Pasir Mas, Che Rohana Ismail, 57, berkata, semua barangan yang disimpan di tempat tinggi semasa banjir gelombang pertama belum diturunkan kerana banjir masih boleh berlaku pada bila-bila masa.
Katanya, dia hanya membawa turun barangan yang ditenggelami banjir dua minggu lalu untuk dibersihkan bagi menggelakkannya rosak.
“Perasaan bimbang itu masih ada, ditambah pula dengan cuaca yang tidak menentu ketika ini. Jadi langkah selamat, semua barangan saya kekalkan di tempat tinggi.
“Banjir yang melanda Kampung Serongga kali ini antara yang terburuk dalam tiga tahun sejak kerja-kerja pembinaan benteng dijalankan pada 2021. Di dalam rumah sahaja, air mencecah lebih satu meter.
“Memang penat, namun saya tetap meneruskan kerja-kerja membersihkan kesan banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, penduduk yang tinggal di pinggir Sungai Galas dan Sungai Kerak di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang dekat sini, mengakui penat selepas kawasan rumah mereka ditenggelami bah setiap tahun.
Seorang penduduk, Siti Zubaidah Udin, 64, berkata, rumahnya sudah dua kali dinaiki air dalam tempoh dua minggu.
Katanya, hujan berterusan menenggelamkan rumah penduduk berhampiran sungai terbabit. – UTUSAN











