'RM1 pun duit juga'

‘RM1 pun duit juga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘RM1 pun duit juga, selagi boleh berjimat, kita berjimat’.

Pesanan berjimat-cermat dalam mengeluarkan belanja ini sering keluar daripada mulut ibu bapa kita dalam mendidik kita untuk berbelanja barangan keperluan kepada yang perlu sahaja. Bezakan antara keperluan dengan kehendak, ilmu yang perlu dimiliki oleh semua orang, tanpa mengira individu itu golongan berada atau berpendapatan sederhana.

Justeru bila baru-baru ini Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) membuat gesaan memansuhkan fi RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), ia seharusnya disokong.

Lantaran ia sangat memberi tekanan kepada individu berpendapatan rendah, khususnya mereka yang sememangnya bergelut dengan peningkatan kos sara hidup dan yang tidak ada sumber pendapatan tetap.

Daripada mata pengguna, apa-apa perkataan membabitkan bayaran tambahan atau caj, dengan kata lain caj tersembunyi, memanglah tidak digemari, namun masih boleh ‘tutup mata’ kalau alasan diberikan kukuh hingga menyebabkan tidak boleh tidak perlu diadakan.

Contohnya caj sebab pengguna perlu mengisi aneka borang untuk transaksi ke luar negara yang lebih rumit.

Lebih daripada itu negara kita pun ada banyak bank. Kita sendiri pun ada banyak akaun bank yang dibuka dengan pelbagai tujuan. Ada yang membuka akaun bagi urusan sekolah untuk anak sulung di Bank A, manakala sekolah anak kedua pula mewajibkan untuk membuka akaun B untuk sebarang urusan bayaran sekolah. Bukannya kita buka secara suka-suka ya.

Fi RM1 mungkin kelihatan kecil, tetapi ia memberi impak besar kepada mereka yang sering mengeluarkan wang tunai di mesin ATM. Bagi individu memiliki wang yang besar, semua transaksi boleh sekali jalan dalam talian tanpa banyak masalah.

Cukuplah caj dan cukai yang dikenakan ke atas pengguna, usah dibebani lagi pengguna dengan bayaran lain yang tidak masuk akal.

Jangan meletakkan segala beban kewangan yang ditanggung syarikat ke atas pengguna biar apa pun alasannya.

Institusi kewangan dan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) ada tanggungjawab sosial untuk memastikan perkhidmatan mereka tidak menjejaskan kebajikan rakyat, malah pemansuhan fi ini lebih menunjukkan keprihatinan mereka terhadap golongan rentan selain membuktikan sektor perbankan bersedia menyokong rakyat.

Ambil langkah segera memansuhkan fi. Selain meringankan beban kewangan pekerja, ia turut meningkatkan kepercayaan terhadap sistem perbankan dalam situasi seperti sekarang ini. Banyak khidmat kemasyarakatan dilakukan oleh institusi perbankan negara ini, bolehlah mansuhkan yang RM1 itu. Tidak begitu?. Ramai yang sanggup ikat perut untuk berjimat, biarpun ada segelintir yang sanggup bergaya biarpun papa.

Nor Afzan Yusof ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

×