‘Mahu kuasa, tunggu  PRU16’ nasihat AMK kepada Pas

‘Mahu kuasa, tunggu  PRU16’ nasihat AMK kepada Pas

Langkah Pas menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada pemimpin UMNO dilihat sebagai usaha untuk parti itu menjadi kerajaan semula.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan meminta Pas bersifat ‘budiman’ dengan menunggu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya mahu berkuasa dan bukan melalui usaha ‘tebuk atap’.

Ketuanya, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd. Hanuzi berkata, tindakan Pas yang menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada Barisan Nasional (BN) memperlihatkan sifat tamak parti itu untuk kembali menjadi kerajaan.

“Saya lihat usaha Pas ini ibarat mahu tubuh syarikat yang besar tetapi modal tidak cukup. Sudahlah modal tidak cukup, untung dan kedudukan serta jawatan dalam syarikat mahu sama banyak.

“Jadi inilah realiti yang mereka mahukan, namun BN dan UMNO tidak sebodoh itu untuk diperkudakan Pas. Jika BN terima tawaran itu tidak mustahil Pas akan sentiasa memberi ugutan sekiranya hasrat mereka gagal dipenuhi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohamad Ezzat Zahrim berkata, jika tindakan ‘tebuk’ atap terus berlaku, situasi politik negara berada dalam keadaan yang tidak stabil.

Katanya, ia berisiko menyebabkan pelabur dari luar negara menjadi tidak yakin dengan kestabilan politik negara.

“Belajarlah daripada pengalaman lalu apabila berlaku tiga pertukaran Perdana Menteri dalam satu penggal disebabkan dengan pelbagai tawaran jawatan dan sebagainya.

“Akhirnya negara yang rugi. Janganlah terus ulangi kesilapan sama. Mahu tukar kerajaan tunggulah PRU16 dan berlawanlah secara gentleman,” ujarnya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat usaha untuk memujuk BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan  pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan baharu.

Timbalan Perdana Menteri mendakwa, sebagai balasan, parti itu turut ditawarkan jawatan Perdana Menteri jika bersetuju dengan perancangan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×