PUTRAJAYA: Datuk Zuraida Kamaruddin secara berseloroh mahu membayar ganti rugi RM100,000 kepada PKR dengan duit kertas RM1.
Bekas Naib Presiden PKR itu yang reda dengan keputusan Mahkamah Rayuan di sini semalam berkata, beliau menyifatkan ganti rugi itu sebagai derma kepada PKR walaupun pada asalnya tidak mahu membayar walaupun serendah RM1 kepada parti yang pernah disertainya.
Di samping itu, Zuraida berhasrat mengutip derma daripada rakan dan penyokong bagi melunaskan ganti rugi tersebut.
Menurut beliau, keputusan itu menjadi pengajaran kepada semua parti politik agar mengikat kesetiaan ahli kepada dasar perjuangan bukannya parti.
“Kalau perjuangan tidak betul, buat apa kita duduk di situ. Kalau nak saman, samanlah yang sewajarnya bukanlah sampai tahap RM10 juta.
“Saya anggap ini sebagai derma untuk parti PKR walaupun mereka dalam kerajaan, tetapi masih memerlukan derma. Kalau ikut hati saya, tidak mahu bayar walaupun RM1,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rayuan di sini semalam.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan memutuskan Zuraida perlu membayar RM100,000 kepada PKR kerana didapati melanggar syarat bon parti iti.
Jumlah itu merupakan pengurangan daripada RM10 juta ekoran Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar jumlah itu kepada PKR kerana melanggar syarat bon parti itu.
Pada 23 Jun 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir memerintahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar RM10 juta selepas memutuskan bahawa bon itu kontrak yang sah dan mengikat.
Pada 2020, Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi pihak parti yang memulakan saman itu mendakwa Zuraida melanggar syarat bon yang ditandatanganinya.
PKR mendakwa Zuraida telah menandatangani suatu bon pada 25 April 2018, yang mengikat dirinya untuk membayar parti sejumlah RM10 juta, berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.
Jumlah tersebut adalah nilai pampasan yang perlu dibayar oleh mereka yang bertindak keluar parti atas penggunaan nama, logo dan benda serta perkhidmatan dan sokongan yang diberikan oleh PKR sewaktu bertanding.
Bagaimanapun, pada 24 Februari 2020, Zuraida yang dinamakan sebagai defendan tunggal bersama 10 Ahli Parlimen PKR lain telah mengumumkan peletakan jawatan dari parti itu tanpa meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen bahagian Ampang dan kemudian membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) dengan parti-parti pembangkang BN, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan yang lain.
Sehubungan itu, plaintif mendakwa defendan telah melanggar bon yang telah ditandatangani dan berdasarkan peruntukan Seksyen 71 Akta Kontrak 1950, PKR mempunyai hak untuk mendapatkan kesemua faedah yang dinikmati atau akan dinikmati oleh Zuraida setelah menjadi Ahli Parlimen Ampang.
Dalam pada itu, peguam Zuraida, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, mahkamah menetapkan anak guamnya hanya perlu membayar RM100,000 kepada PKR berbanding jumlah asal RM10 juta.
Katanya, jumlah itu mengambil kira perbelanjaan pilihan raya seperti mana ditetapkan di bawah undang-undang pilihan raya.










