Skuasy lelaki, wanita mara pusingan kedua

Skuasy lelaki, wanita mara pusingan kedua

Ng Eain Yow yang diletakkan sebagai perseorangan pertama bangkit untuk menang ke atas pemain No. 20 dunia, Greg Lobban 8-11, 9-11, 11-8, 11-5, 11-5 selepas tewas dalam dua set awal. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad lelaki dan wanita negara mara ke pusingan kedua selepas menjuarai peringkat kumpulan Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia di Hong Kong malam tadi.

Baik skuad lelaki mahupun wanita yang diundi di dalam Kumpulan E masing-masing mengutip mata penuh selepas mencatat kemenangan dalam semua perlawanan peringkat dengan pasukan lelaki yang diketuai pemain No. 13 dunia, Ng Eain Yow mencatat kemenangan 2-1 ke atas Scotland dalam aksi pembukaan.

Perseorangan ketiga, Sanjay Jeeva cemerlang apabila bangkit daripada ketinggalan 0-2 kepada Rory Stewart untuk meraih kemenangan 7-11, 9-11, 11-8, 11-8, 11-2 manakala Eain Yow yang diletakkan sebagai perseorangan pertama turut bangkit untuk menang ke atas pemain No. 20 dunia, Greg Lobban 8-11, 9-11, 11-8, 11-5, 11-5 selepas tewas dalam dua set awal.

Kejayaan dua wakil negara itu bagaimanapun gagal diikuti Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar apabila dia tunduk kepada Alasdair Prott 6-11, 9-11, 8-11.

Malaysia yang memburu kemenangan kedua untuk lolos ke peringkat 16 terbaik terus beraksi garang membenam Filipina 3-0 menerusi Sanjay yang mengetepikan cabaran Christopher Buraga 11-8, 12-10, 11-5, manakala, Eain Yow menundukkan Reymark Begornia 11-7, 11-4, 11-3 dan Mohammad Syafiq Kamal menumpaskan Jonathan Reyes 11-5, 11-4, 11-7.

Sementara itu, dalam saingan wanita, srikandi negara meneruskan rentak cemerlang apabila meraih kemenangan 3-0 ke atas Perancis dan Ireland bagi memastikan enam mata penuh menjadi milik Malaysia.

Dalam aksi yang berlangsung pada sebelah pagi, Rachel Arnold yang direhatkan sewaktu berdepan Macau, semalam, menewaskan pemain Perancis, Marie Stephan 14-12, 11-5, 11-0 untuk menghadiahkan mata sulung skuad negara sebelum S. Sivasangari mengukuhkan kedudukan menewaskan Melissa Alves 11-8, 11-7, 10-12, 11-4 manakala Aira Azman mengetepikan Enora Villard 11-7, 12-10, 11-9.

Pada pertemuan menentang Ireland, Rachel menumpaskan Breanne Flynn 9-11, 11-5, 11-7, 11-7, Sivasangari menyingkirkan Hannah Craig 11-2, 11-4, 11-9 dan Aifa Azman pula mudah mengetepikan Ciara Moloney 11-2, 11-1, 11-1. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×