Titah adendum tidak pernah dibangkitkan – PM

Titah adendum tidak pernah dibangkitkan – PM

ANWAR Ibrahim di Dewan Rakyat, semalam. - JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak terlibat dalam isu titah adendum yang didakwa wujud bagi membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau hanya hadir pada 8 Disember 2023 sementara mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lalu, dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.

Pada ketika itu, menurut beliau, soal memberikan titah adendum kepada Najib yang juga bekas Perdana Menteri, tidak termasuk dalam agenda mesyuarat.

“Yang di-Pertuan Agong ketika itu tidak memasukkan agenda permohonan pengampunan Najib dalam pertimbangan Lembaga Pengampunan. Jadi untuk rekod, saya persembahkan kepada Tuanku atas alasan semua rakyat atau banduan berhak membuat permohonan dan kerana kedudukan beliau adalah munasabah kalau diberi pertimbangan.

“Tuanku Agong ketika itu memberi perkenan, jadi ada 11 agenda (dan) 10 dikemukakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, (apabila sampai ke) agenda ke-11, Yang di-Pertuan Agong yang mempengerusikan (mesyuarat), minta saya kemukakan hujah tentang rayuan pengampunan Najib.

“Pada masa itu, dalam mesyuarat yang saya hadir, tidak langsung dibangkitkan isu kandungan adendum yang dimaksudkan,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang meminta penjelasan kerajaan berkenaan kewujudan titah adendum berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan kali ke-61 pada 29 Januari lalu, melibatkan permohonan pengampunan oleh Najib.

Anwar meminta semua pihak untuk menunggu Keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari 2025 bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan isu berkenaan.

“Apakah munasabah untuk kita memberikan ulasan sebelum (keputusan mahkamah) kerana Peraturan Mesyuarat 23(1)(g) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tidak membolehkan.

“Seperti mana yang ditetapkan oleh kenyataan Peguam Negara ialah menghormati dan mempercayai institusi undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, memandangkan perkara itu terus dibangkitkan, beliau mencadangkan ia dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk pertimbangan.

“Saya ada kemukakan untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong sekarang, pada masa yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda, merujuk kepada mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sekarang.

“Sebagai orang yang memenuhi tanggungjawab, saya lakukan kerana bagi saya, siapa pun berhak untuk diberikan pertimbangan sama ada menilai cara dan kaedah hukuman dijatuhkan atau pertimbangan yang disebut fountain of mercy,” katanya.

Beliau turut membidas pembangkang yang cuba menjadi ‘juara’ dalam isu berkenaan.

“Saya tidak boleh jawab untuk menghormati mahkamah. Tidak faham ke? Nak cari cheap political stunt dan hiprokasinya secara tiba-tiba mereka hendak menjadi juara (untuk) Najib,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×