LONDON: Beberapa negara Eropah termasuk United Kingdom (UK) menggantung pemprosesan permohonan suaka untuk rakyat Syria, selepas kejatuhan bekas Presiden Bashar al-Assad.
Kerajaan sementara Austria menghentikan semua tuntutan suaka daripada rakyat Syria dan merancang untuk menghantar pulang atau mengusir mereka kembali ke tanah air, dengan alasan keadaan negara itu berubah secara asasnya.
Jerman, yang menempatkan sejuta rakyat Syria, UK, Perancis dan Greece turut mengumumkan akan menggantung keputusan berkaitan suaka buat masa ini.
Tindakan itu berpotensi menyebabkan ribuan rakyat Syria berada dalam keadaan tidak menentu, berikutan kejatuhan rejim Bashar selepas 50 tahun pemerintahan kejam.
Sejak 2011, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 14 juta rakyat Syria terpaksa meninggalkan rumah mereka untuk mencari perlindungan keselamatan.
Canselor Austria, Karl Nehammer dalam hantaran di X berkata, kerajaan akan menyokong semua rakyat Syria yang menemui perlindungan di Austria dan ingin kembali ke negara asal mereka.
Kira-kira 95,000 rakyat Syria kini tinggal di Austria, kebanyakannya tiba semasa krisis migran pada 2015 dan 2016.
Sementara itu, Pejabat Persekutuan untuk Migrasi dan Pelarian Jerman turut menangguhkan semua permohonan yang belum selesai daripada pencari suaka Syria.
Pada masa ini, seramai 42,270 rakyat Syria di Jerman sedang menunggu keputusan permohonan itu, namun tindakan tersebut tidak menjejaskan mereka yang sudah diberikan suaka.
Setiausaha Dalam Negeri UK, Yvette Cooper mengesahkan pemberhentian keputusan suaka bagi kes dari Syria semenntara Kementerian Dalam Negeri menyemak dan memantau situasi semasa.
Antara 2011 hingga 2021, lebih 30,000 rakyat Syria diberikan suaka di UK, kebanyakan mereka ditempatkan semula di bawah skim kemanusiaan dan datang dari negara lain seperti Turkiye serta Lubnan.
Menurut Reuters, Perancis juga sedang mengusahakan dasar sama dengan Jerman, yang dijangka dilaksanakan tidak lama lagi.– BBC











