KUALA KANGSAR: Isu ketidakhadiran calon menjadi antara perhatian Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak sepanjang musim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula minggu lalu.
Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai berkata, berdasarkan data sebelum ini terdapat kalangan pelajar yang sudah memilih untuk bekerja dan itu menjadi antara faktor menyebabkan mereka enggan menduduki peperiksaan.
“Kita ada data untuk memastikan pelajar yang ada kecenderungan keciciran ini dapat ditangani lebih awal dan kita harap bilangan (keciciran) pada tahun ini dapat dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian pusat tuisyen Serambi Khalid di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuala Kangsar kelmarin.
Berdasarkan rekod sebelum ini, seramai 1,106 daripada 32,735 calon SPM 2022 di Perak tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut.
Mengenai risiko musim hujan lebat dan banjir, Safuan berkata, beberapa persediaan sudah dibuat oleh pihak kementerian termasuk menyediakan prosedur operasi standard (SOP) jika berlaku bencana.
Kenaikan air di sepanjang Sungai Perak merupakan antara risiko gelombang kedua hujan lebat yang diramalkan berlaku pada minggu ini.
Beliau turut menasihati warga pendidik untuk mengambil maklum mengenai pelajar di sekolah masing-masing berkaitan persiapan mereka bagi menghadapi peperiksaan.
Pada masa sama, beliau mengharapkan sokongan komuniti dan ibu bapa terhadap calon-calon peperiksaan itu baik dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi musim peperiksaan yang panjang. – UTUSAN











