
SELEPAS dua tahun menyepi setelah disingkirkan UMNO, bekas veteran parti itu, Datuk Zahidi Zainul Abidin membuat kemunculan semula dalam politik dengan menyertai PKR.
Penyertaan Zahidi yang dikatakan mendapat restu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilihat mampu memberi nilai tambah dan menguatkan lagi parti tersebut memandangkan bekas Ahli Parlimen Padang Besar selama dua penggal itu masih mempunyai pengaruh kuat.
Serentak dengan penyertaaan Zahidi itu juga, beliau bakal mewujudkan 400 ranting di seluruh negeri ini dengan lebih 100 ranting PKR pula di Padang Besar dengan misi untuk Pakatan Harapan (PH) melalui kerjasama Barisan Nasional (BN) kembali merampas Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Zahidi yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar menguasai Parlimen berkenaan sejak dua penggal lalu iaitu pada Pilihan Raya Umum 2013 dan 2018 sebelum tewas dalam pilihan raya lalu atas tiket Bebas. Sebelum itu, pada pilihan raya 1999 dan 2004, Zahidi menguasai DUN Beseri.
Kata Zahidi, penyertaan beliau juga dilihat mampu memberi nafas baharu kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya di Perlis yang hanya menang satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan dalam pilihan raya sebelum ini.
Beliau juga akan membantu menarik sokongan khususnya pengundi Melayu dalam membantu membela nasib rakyat di negeri ini.
Ujarnya, PKR dan PH sudah mempunyai 90 peratus sokongan undian daripada bangsa Cina namun Melayu belum tentu lagi yang memerlukan usaha untuk menarik sokongan tersebut.
“Jadi kita akan berusaha untuk tubuhkan sebanyak mungkin ranting, maka daripada situ dapatlah kita tarik pengaruh pengundi Melayu untuk bersama PKR,” katanya.
Tambah beliau lagi, kerjasama antara Anwar dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di peringkat pusat juga bakal mewujudkan satu gerakan padu dalam merampas negeri ini daripada PN.
“Kita lihat tidak ada perpecahan berlaku di situ dan kalau dapat diteruskan, maka tak ada masalah untuk PH dan BN merampas Perlis pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau lebih selesa dengan wadah baharu menyertai PKR berbanding kembali bersama UMNO.
“Kita lihat masa PRU lalu selepas saya disingkir UMNO ada berlaku perpecahan. Saya masuk PKR untuk merapatkan kembali hubungan termasuk dengan UMNO,” katanya. – UTUSAN











