Kes mati mengejut yang sering kita dengar seperti meninggal dunia dalam tidur atau ketika sedang berehat sememangnya menimbulkan pelbagai persoalan.
Apakah puncanya kematian mengejut semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini? Walaupun kematian boleh berlaku tanpa diduga, adakah mustahil individu yang sihat, tiba-tiba meninggal dunia?
Dalam satu kes, seorang lelaki didapati meninggal dunia selepas meletakkan keretanya di parkir. Menurut rakan-rakan yang menumpangnya, si mati kelihatan sihat saja ketika memandu.
Pengarah Hospital Al Sultan Abdullah dan Perunding Bedah Kanan Kardiotorasik, Prof. Dr. Mohd. Zamrin Dimon berkata, terdapat beberapa punca berlaku kematian mengejut.
“Salah satu punca yang paling biasa adalah disebabkan serangan jantung atau ritma jantung tiba-tiba menjadi perlahan. Mangsa mungkin tidak pernah mengalami serangan jantung kerana tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan terutama jantung.

“Selalunya mereka adalah type A personaliti, iaitu individu yang ada kencing manis, darah tinggi atau kolesterol tinggi tapi tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan. Mereka juga tidak pernah melakukan senaman seperti aktiviti lasak seperti hiking atau bersukan,” katanya.
Dr. Mohd. Zamrin berkata, selalunya kes kematian mengejut membabitkan lebih ramai lelaki berbanding wanita. Ini disebabkan ramai lelaki merasakan mereka sihat dan tidak menjalankan pemeriksaan kesihatan.
Sementara itu, wanita lebih cenderung mengambil berat kesihatan dengan menjalani pemeriksaan sebaik mereka sakit. Mereka juga sering menjalankan kerja-kerja rumah yang memenatkan tetapi ia baik untuk kesihatan jantung.
“Dalam kes kematian mengejut, sebelum kejadian, mungkin mereka tertekan dan akhirnya mendapat serangan jantung yang membawa maut,” katanya.
Menurutnya, wanita jarang mati mengejut terutama yang masih ada haid kerana dilindungi dengan beberapa cara. Ini kerana hormon masih ada tapi jarang dapat serangan jantung kecuali ada masalah hormon yang tidak teratur.
Jelasnya lagi, pesakit jantung yang menemui beliau selalunya adalah wanita yang sudah putus haid dan berusia 60 tahun ke atas manakala penyakit jantung membabitkan injap disebabkan jangkitan, tidak kira lelaki atau perempuan.
Tambahnya, risiko lebih tinggi untuk mati mengejut sekiranya dalam keluarga ada yang mengalami penyakit tiga serangkai seperti kencing manis, darah tinggi atau sakit jantung.
Katanya, satu lagi punca kematian mengejut adalah pendarahan di kepala akibat anuerisma otak iaitu pembengkakan seperti belon yang berlaku pada salur darah otak.
Sekiranya tidak dikesan dan dirawat, aneurisma atau belon ini boleh pecah. Ini menyebabkan pendarahan dalaman mengakibatkan komplikasi lebih serius yang boleh membawa maut.
KENCING MANISTIDAK SAKIT
Ramai tidak sedar atau tidak tahu mengenai serangan jantung. Ini disebabkan penyakit kencing manis menyebabkan penghidapnya tidak rasa sakit kerana mereka rasa kebas.
Ini menyebabkan pesakit kencing manis tidak pernah tahu itu adalah serangan jantung. Selalunya mereka sesak nafas, tapi merasakan itu biasa sebab penat atau stress.
“Serangan jantung biasanya menyebabkan mereka sakit dada iaitu di bahagian tengah dada. Ia akan merebak ke leher, selalunya datang ketika stres, sedang bergerak, berjalan, naik tangga, berpeluh sejuk di dahi, dan sakit di bahagian tangan kiri.
“Satu lagi tanda, pesakit mengalami ‘reduce effort tolerance’, maksudnya kalau dulu boleh berlari, bersukan seperti bermain badminton atau tenis, tapi sekarang sudah berasa tidak cukup nafas. Sesetengah orang tidak perasan,” katanya.
Sesetengah orang pula, tambahnya tidak mengalami sakit tetapi sukar bernafas. Bagaimanapun, kesukaran bernafas disebabkan jantung yang tersumbat dan tidak cukup kekuatan untuk mengepam darah.
Jantung dan paru-paru sangat berkait rapat. Sekiranya jantung bermasalah, paru-paru pun biasanya akan mengalami masalah dan sukar untuk bernafas.
“Kalau sedang duduk tidak berbuat apa-apa, tiba-tiba jantung berdegup laju, salah satu tanda jantung tidak sihat. Ia mungkin jadi beberapa kali tanpa disedari.
“Terutama sekali yang menghidap darah tinggi, kencing manis dan tidak pernah menjalani pemeriksaan,” katanya.
Bagaimanapun, orang ramai perlu mengambil berat tanda-tanda yang boleh mendedahkan mereka dengan risiko serangan jantung dan kematian mengejut.
Antaranya adalah sakit dada yang merebak ke leher dan seterusnya merebak ke bahu dan lengan.
Individu yang kurus tidak semestinya selamat daripada serangan jantung kerana lemak mereka lebih banyak daripada yang gemuk.
Persoalannya pernah atau tidak kita bersenam sehingga tercungap-cungap dan bilakah kali terakhir anda lakukannya?
Adakah boleh bertahan atau stabil pada masa itu? Kalau tidak boleh, maknanya ada yang tidak kena dengan jantung anda.
Orang yang tinggi tahap ketahanan biasanya boleh berlari jauh, baru tercungap manakala yang rendah tahap ketahanannya berjalan sekejap sahaja sudah tercungap. Ini bermakna jantungnya tidak kuat.
Sebaiknya lakukan senaman untuk kekuatan jantung atau kardiovaskular seperti berlari, aerobik, berenang dan sebagainya.
Senaman ini juga membantu untuk mengendurkan pembuluh darah, mengurangkan tekanan darah, merendahkan paras gula dalam darah, mengurangkan keradangan dan meningkatkan paras kolesterol baik (HDL). – UTUSAN










