Adam teruja mahu buat persembahan - Ibu 

Adam teruja mahu buat persembahan – Ibu 

SITI Zaharan ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB), Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Perjalanan tiga sekawan menuju Alor Setar, Kedah untuk membuat persembahan sempena Kedah Bike Week bertukar duka apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Plaza Tol Sungai Dua di sini, pagi tadi.

Penuntut jurusan muzik Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Muhammad Adam Mifdal Mohd Affendy, 18, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di bahagian tempat duduk hadapan Perodua Myvi yang dinaiki mereka dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu.

Ibu mangsa, Siti Zaharan Shaari, 44, berkata, arwah yang juga anak sulung daripada empat beradik, teruja untuk mengadakan persembahan buat kali pertama di program berkenaan yang kebetulan berlangsung di kampung halamannya.

“Kali terakhir saya berhubung dengan Adam pada malam tadi (Khamis) dan dia memaklumkan akan bertolak balik dari Kuala Lumpur bersama rakan-rakannya pada pagi ini.

“Memang luluh hati ini apabila menerima perkhabaran mengenai nahas yang menimpa dia dan rakan-rakannya apatah lagi arwah tidak sabar untuk membawa mereka bersiar-siar di Alor Setar.

“Lebih terkilan sebab kali terakhir kami berbual, dia meminta saya menunggunya pulang kerana dia mahu memberitahu sesuatu. Namun, sangat ralat kerana tidak dapat mengetahui apa perkara yang mahu diceritakannya,” katanya ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kepala Batas di sini.

Tambah Siti Zaharan, anaknya bukan sahaja seorang yang periang, malah disenangi oleh kawan-kawan selain gemar bercerita tentang aktiviti harian dengannya.

“Walaupun sedih, kami sekeluarga reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.

Difahamkan, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman di Taman Bersatu, Kuala Kedah dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Bersatu.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang remaja maut manakala dua lagi rakannya parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Plaza Tol Sungai Dua arah utara di sini pagi tadi.

Mangsa yang maut dikenali Muhammad Adam Mifdal Mohd Affendy, 18, manakala dua rakannya yang cedera, Muhammad Amirul Johan Rizwal,18, dan Muhammad Shahmi Mohd Yusof, 22. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×