TUMPAT: Solat Jumaat di Masjid As Solihin Mukim Bendang Pak Yong, di sini terpaksa diganti dengan solat Zohor apabila jemaah yang hadir tidak mencukupi 40 orang.
Pekarangan masjid masih digenangi air dan jemaah terpaksa menaiki bot dan ada yang berjalan kaki meredah banjir untuk menunaikan solat.
Imamnya, Anuar Daud berkata, ini kali kedua solat Jumaat tidak dapat dilakukan di masjid itu sejak Kampung Bendang Pak Yong dan beberapa kampung lagi dilanda banjir selama 10 hari.
Katanya, Jumaat lepas masjid tenggelam banjir dan semalam pula jemaah tidak cukup.
“Yang hadir hanya 20 orang, masih ramai lagi penduduk kampung berada di pusat pemindahan banjir (PPS),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di masjid tersebut semalam.
Menurutnya, dalam Sejarah, ruang solat digenangi air banjir sedalam 0.5 meter manakala di pekarangan masjid lebih semeter.
“Setiap tahun banjir di kampung ini tetapi hanya pekarangan masjid ditenggelami air. etapi banjir kali ini lebih buruk daripada 1967 dan tahun 2014 sehingga merosakkan almari, kitab, al-Quran dan telekung ditenggelami banjir,” katanya.
Seorang jemaah, Mamat Mokhtar,60, berkata, dia hadir untuk tunaikan solat Jumaat namun disebabkan tidak cukup jemaah solat Zohor dilakukan.
“Walau pun terpaksa meredah banjir sedalam 0.5 meter, itu tidak menjadi halangan untuk saya menunaikan solat di sini,” katanya. – UTUSAN










