Indahnya jika guna peribahasa setiap hari

Indahnya jika guna peribahasa setiap hari

JIKA kita meneliti peribahasa daripada pelbagai bahasa dan budaya di Malaysia, akan kelihatan sedikit persamaan dari segi konteks.-UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SALAH satu daripada keindahan dalam bahasa ialah peribahasa. Kata-kata yang disusun indah membawa makna mendalam dan mengungkapkan pemikiran tajam masyarakat silam.

Maka, tidak hairanlah peribahasa yang wujud sejak dahulu masih digunakan dalam berbicara, sama ada secara lisan atau bertulis.

Apabila penutur menyelitkan sebaris peribahasa yang sesuai, secara semula jadi ucapannya mencapai kedudukan lebih tinggi.

Setiap komuniti dan kelompok masyarakat memiliki ribuan peribahasa yang diperturunkan dari generasi ke generasi. Keadaan ini mungkin menyebabkan asal usul atau suasana yang membawa kepada penciptaan peribahasa itu sudah tidak diketahui.

Perbezaan budaya, kepercayaan, amalan dan kegiatan sosioekonomi masyarakat juga mungkin menyebabkan satu komuniti tidak memahami konteks sesuatu peribahasa digunakan komuniti lain.

Keadaan di Malaysia pula amat istimewa kerana selain peribahasa Melayu dan Inggeris yang diajar di sekolah, kita juga sudah terbiasa mendengar peribahasa digunakan komuniti Cina, India, Orang Asli dan sebagainya.

Dalam kalangan kaum India sendiri terdapat peribahasa Tamil, Malayalam, Telugu, Punjabi dan bermacam-macam lagi.

Walaupun memang wujud perbezaan yang tidak dapat dielakkan dalam sebuah bangsa majmuk seperti di Malaysia, kita sentiasa meraikan kepelbagaian itu dengan tangan terbuka.

Maka, jika kita meneliti peribahasa daripada pelbagai bahasa dan budaya di Malaysia, akan kelihatan sedikit persamaan dari segi konteks.

Sekadar contoh, satu peribahasa Melayu yang sudah amat jarang digunakan ialah ‘meskipun anjing dirantai dengan rantai emas, nescaya berulang juga ia ke tempat najis’.

Sejak kecil, saya biasa mendengar penutur bahasa Tamil menggunakan peribahasa hampir sama. Dalam peribahasa Tamil, dikatakan bahawa meskipun seekor anjing dimandikan (dibersihkan) dan diletak di tengah rumah, ia akan tetap pergi makan tahi.

Kedua-dua peribahasa yang dijadikan contoh di sini menunjukkan betapa perbezaan amalan, agama, budaya dan tempat asal tidak menghalang perkongsian idea atau pengalaman yang hampir serupa.

Sama ada dalam budaya Melayu atau India, maksud yang mahu disampaikan ialah walaupun kita cuba mengubah seseorang menjadi baik, dia tetap akan teruja untuk kembali bergelumang dalam perbuatan jahat yang sudah menjadi kebiasaan.

Pada masa sama, peribahasa ini tetap sesuai digunakan sepanjang zaman dan dalam mana-mana budaya. Anjing wujud di seluruh pelosok dunia dan semua orang tahu apakah binatang itu.

Sama ada seseorang pernah membela anjing atau hanya melihatnya dari jauh, dia pasti memahami maksud yang cuba disampaikan menerusi peribahasa tadi.

Alang-alang bercakap tentang anjing, satu lagi peribahasa yang muncul dalam minda ialah ‘seperti anjing dengan kucing’.

Tentu kita sudah terlalu biasa mendengar perumpamaan itu digunakan orang. Ia menggambarkan situasi dua individu sentiasa bergaduh atau berselisih faham. Tidak sukar untuk kita membayangkan bagaimana anjing dan kucing sentiasa bercakaran. Dalam komik dan kartun juga situasi seperti ini sering diketengahkan.

Contoh paling mudah ialah anjing bulldog bernama Spike dalam Tom and Jerry yang popular sejak 1940-an. Generasi tua dan muda sama-sama mengenali watak tikus, kucing dan anjing dalam siri itu.

Namun begitu, di media sosial sekarang, banyak video tular memaparkan anjing dan kucing amat rapat seperti ‘isi dengan kuku’ atau ‘bagai hempedu lekat di hati’.

Maka, generasi muda yang terbiasa melihat anjing dan kucing hidup aman mungkin tertanya-tanya mengapa wujud peribahasa seumpama itu. Mujurlah ada kartun Tom and Jerry untuk membantu ibu bapa memberi penerangan kepada anak-anak.

Satu lagi peribahasa yang mungkin tidak juga difahami orang dewasa ialah ‘dulu bajak daripada jawi’. Sedangkan aktiviti membajak pun sudah terlalu asing bagi kita, apakan pula tentang ‘jawi’ yang digunakan dalam peribahasa ini.

Saya pernah menulis di ruangan ini, rencana bertajuk Jalan berliku membudayakan Jawi (21 Ogos 2021) serta Jawi peranakan dan jaati bukkan (26 Februari 2022).

Rencana itu berkaitan tulisan Jawi yang berasaskan huruf Arab dan komuniti peranakan Melayu-India (Keling) khususnya di Pulau Pinang. Frasa ‘masuk jawi’ pula merujuk perbuatan berkhatan dalam kalangan orang Islam.

Akan tetapi, apa pula kaitan semua itu dengan peribahasa ‘dulu bajak daripada jawi’? Tentu sahaja ia tidak bertujuan mempersenda komuniti India-Muslim yang digelar ‘Keling pelikat’ dalam Kamus Dewan.

Sebenarnya, perkataan ‘jawi’ yang digunakan dalam peribahasa ini ialah istilah lama yang mungkin sudah tidak digunakan sekarang. Ia merujuk kepada sapi atau lembu.

Maka, peribahasa tradisional ini menyindir perbuatan melakukan kerja tidak mengikut urutan atau aturan. Misalnya, untuk membajak, tentulah jawi (lembu) perlu berada di depan untuk menarik bajak (tenggala).

Sekiranya bajak diletak di depan jawi, pasti mustahil untuk membajak (menggemburkan tanah). Peribahasa Melayu ini sama makna dengan peribahasa Inggeris ‘to put the cart before the horse’.

Peribahasa ‘belakang parang kalau diasah nescaya tajam’ membuktikan bahawa orang yang kurang cerdik pun boleh menjadi pandai jika diberi bimbingan.

Tentulah bukan ‘seperti mengasah parang timah’ iaitu melakukan sesuatu pekerjaan yang tidak akan memberi apa-apa hasil. Hal ini kerana bijih timah tidak cukup keras untuk diasah.

Sementara itu, peribahasa ‘dulu parang, sekarang besi’ merujuk situasi sudah terlewat yang mana sesuatu atau seseorang tidak berguna lagi.

Begitulah juga ‘bagai parang buruk, tali sabut tiada tergolok’  iaitu apabila seseorang sudah tiada kuasa untuk melakukan sesuatu. Misalnya, ahli politik yang dilucutkan jawatan.

Apa yang pasti, peribahasa tradisional tetap sesuai digunakan untuk menggambarkan pelbagai hal yang berlaku dalam kehidupan seharian.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×