PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dan marah dengan kelewatan pelaksanaan dua projek transformasi digital negara iaitu MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu dibangkitkan beliau pada Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara yang berlangsung semalam.
“Hal rumit yang berbangkit dalam mesyuarat itu menyebabkan saya kurang sabar. Dalam tempoh dua tahun ini saya melahirkan rasa kemarahan yang agak keras sedikit.
“Ini kerana, kadang-kadang harapan kita tinggi tetapi apabila MyDigital ID itu terlambat pelaksanaannya hampir setahun. Malah, inisiatif Rangkaian 5G Kedua dan rundingan Digital Nasional Bhd. (DNB) dengan telco juga tertangguh.
“Peringatan kita satu tahun yang lalu juga belum dijawab secara positif oleh kedua-dua pihak. Ini menyebabkan saya agak hilang kesabaran,” katanya pada majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan di sini, semalam.
Anwar berkata, sikap marah itu menunjukkan bahawa beliau juga ada kekurangan seperti orang biasa.
Namun, beliau memohon maaf kepada mereka yang hadir dalam mesyuarat semalam termasuk rakan-rakan menteri.
“Teman-teman menteri yang hadir semalam juga agak terkejut dengan sikap saya. Saya mohon maaf setulusnya,” katanya.
Difahamkan, setakat ini MyDigital ID mencatatkan lebih 1.2 juta pengguna berdaftar dalam tempoh satu tahun.
Inisiatif itu diumumkan Anwar pada November tahun lalu sebelum MyDigita ID diiktiraf di peringkat nasional sebagai bentuk pengurusan pengenalan digital yang dipercayai.
Ia menyediakan pengesahan yang selamat untuk transaksi dalam talian dan menangani kelemahan yang terdapat dalam sistem pengesahan identiti secara dalam talian sedia ada.
Selepas itu, kiosk pendaftaran MyDigital ID telah ditempatkan di 200 cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), lapan cawangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional serta 357 cawangan Tealive di seluruh negara.
Sementara itu, rangkaian 5G kedua dilihat berperanan sebagai penyedia kesalinghubungan khusus terutama dalam menyokong aplikasi Internet Kebendaan Perindustrian (IIoT).
Rangkaian 5G DNB mencapai liputan penduduk sebanyak 80 peratus pada awal 2024, membolehkan kerajaan meneruskan rancangan untuk mewujudkan pemain kedua.
Pada 1 November, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan rangkaian 5G kedua Malaysia akan dilaksanakan oleh U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile) selepas pihaknya melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih pengendali rangkaian mudah alih bagi projek itu.
Pada sidang media baru-baru ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan sudah meminta MCMC mendapatkan pelan perancangan seterusnya daripada U Mobile berhubung proses pelaksanaan rangkaian 5G kedua negara itu.
Langkah itu menurut Fahmi adalah susulan agensi berkenaan memberi kebenaran kepada U Mobile untuk mengadakan perbincangan strategik dengan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang lain (MNO). – UTUSAN










