ALOR SETAR: Banjir yang melanda meresahkan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan menduduki ujian lisan bermula hari ini.
Rata-rata mereka yang ditemui mengakui, persiapan untuk mengulang kaji pelajaran sedikit terganggu kerana perlu mendiami pusat pemindahan sementara (PPS).
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong, Nur Intan Aliesya Zamri, 17, berkata, air di rumahnya mencecah paras satu meter sejak Khamis lalu.
“Keadaan itu menyebabkan kami perlu berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gunong untuk sementara dan sebelum peperiksaan bermula kami akan ke asrama SMK Alor Janggus bagi menduduki peperiksaan itu.
“Saya rasa banjir ini tidak akan menghalang saya menjawab SPM sebab kalau diikutkan saya sudah bersedia lama sebelum banjir melanda,” katanya di sini, semalam.
Rakan sekolahnya, Nur Hasmira Najwa Hasan, 17, bersyukur dipindahkan ke asrama sekolah lain sekaligus memudahkannya sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Apabila berada di PPS memang agak sukar untuk tumpu mengulang kaji, jadi syukur apabila dapat tinggal sementara di asrama yang memudahkan saya nak fokus kepada SPM,” katanya.
Bagi Muhammad Zairil Baharnordin, 17, dia terpaksa meminjam bahan ulang kaji daripada rakan-rakannya kerana buku teks dan peralatan sekolah lain tidak sempat diselamatkan.
“Saya rasa gementar dan gelisah sedikit untuk menduduki SPM dalam keadaan banjir ini tetapi apa-apa pun saya yakin akan dapat jawab dengan tenang,” katanya.
Di Rantau Panjang, seramai 185 calon SPM yang terjejas banjir dari beberapa buah sekolah dipindahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggunakan trak dan bot tempur bagi membolehkan mereka menduduki ujian lisan bahasa Melayu dan Inggeris.
Kesemua pelajar itu dikumpulkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi sebelum dibawa ke pusat peperiksaan yang ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim 1, SMK Sultan Ibrahim 2 dan SMK Pasir Mas.
Sementara itu, Nur Arina Mohd. Rozizi, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang memberitahu, dia hampir berputus asa sehingga pernah terfikir untuk tidak menduduki ujian lisan selepas rumahnya di Kampung Gual Machang ditenggelami banjir.
Katanya, banjir yang melanda membuatkan emosinya tidak stabil apabila dia bersama ibu bapa dan tiga adik-beradik yang lain terperangkap selama lima hari di rumah.
“Kali terakhir saya mengulang kaji pelajaran pada Jumaat lalu sebelum telefon pintar dan tablet kehabisan bateri apabila bekalan elektrik di kawasan itu terputus.
“Keadaan banjir ketika ini membuatkan saya hampir berputus asa dan pernah terfikir untuk tidak mahu menduduki SPM esok. Saya dan ibu berhempas pulas menaiki bot penduduk melawan arus deras banjir ke Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi untuk menaiki trak Angkatan Tentera (ATM) hari ini,” katanya. – UTUSAN











