PETALING JAYA: Pengusaha produk aiskrim Malaysia, Fyby Licious Services capai peningkatan jualan mencecah RM1,500 sebulan selepas menerima pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 18 Mac lalu.
Fatimah Abas, 44, berkata, sebelum ini perniagaan aiskrim hanya mencapai RM200 sebulan.
“Selepas memperoleh sijil halal ini, pembeli lebih ramai dan perniagaan semakin berkembang. Alhamdulillah, jualan meningkat untuk tiga bulan pertama sehingga RM1,500 sebulan.
“Saya percaya pelanggan mula rasa yakin membeli produk aiskrim keluaran saya dan mereka yakin juga dengan kebersihan produk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurutnya, terdapat tiga jenis aiskrim Malaysia yang dijual pada harga antara RM1 hingga RM5.
Fatimah yang menjalankan perniagaan di Kampung Chuah, Port Dickson berkata, dia memulakan perniagaan aiskrim Malaysia secara kecil-kecilan dari rumah.
“Saya menghantar bekalan ke kedai runcit dan juga menjalankan perniagaan dalam media sosial serta melalui kumpulan aplikasi WhatsApp.
“Selepas enam bulan, saya menambah produk aiskrim dan aiskrim cawan dengan mengambil tempahan untuk majlis hari jadi, jamuan kerajaan dan korporat serta majlis perkahwinan. Bagi tahun pertama, jualan saya mula mencecah RM800 hingga RM1,000,” katanya yang turut diberi pendedahan kotej halal oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains).
Sehingga kini, Fatimah mempunyai beberapa ejen di Kajang, Putrajaya, Seremban, Nilai, Port Dickson di Negeri Sembilan.
Dia turut menasihatkan usahawan lain agar mendapatkan pensijilan halal kerana amat penting untuk menjadi titik permulaan syarikat.
“Ini peluang untuk mereka (usahawan) menuju ke langkah seterusnya untuk melebarkan sayap ke peringkat Asia. Dalam pada itu, pembeli lebih yakin dengan produk makanan tanpa was-was,” katanya.-UTUSAN










