MASJID Shahi Jama di daerah Sambhal, negeri Uttar Pradesh, India mempunyai status rasmi sebagai bangunan yang dilindungi dan diisytiharkan sebagai monumen kepentingan negara.
Rumah ibadat itu adalah antara tiga masjid terpenting bagi umat Islam di utara India, dua lagi terletak di Panipat, Haryana dan Masjid Babri yang dirobohkan di Ayodhya, Uttar Pradesh.
Ia dibina semasa pemerintahan Maharaja Mughal Babur, pada abad ke-16.
Pada 1991, Parlimen India meluluskan Akta Tempat Ibadat yang menetapkan status keagamaan semua tempat ibadat akan kekal seperti 15 Ogos 1947 dan tidak boleh diubah.
Namun, baru-baru ini, polemik tercetus selepas mahkamah tempatan mengarahkan tinjauan arkeologi dilakukan terhadap masjid bersejarah itu, susulan petisyen mendakwa lokasi tersebut dahulunya merupakan tapak kuil Hindu.
Ketegangan yang memuncak antara penduduk Islam dengan anggota polis akhirnya menyebabkan lima orang maut akibat ditembak.
Keluarga mangsa dan penunjuk perasaan lain menuduh pihak polis melepaskan tembakan, manakala pihak berkuasa pula mendakwa peserta protes melepaskan tembakan.
Insiden yang menyebabkan pertumpahan darah itu bagaimanapun masih dalam penyiasatan pihak polis.

Sementara itu, suasana sugul menyelubungi rumah seorang daripada mangsa yang terbunuh dalam protes, Nayeem di Sambhal.
Adik Nayeem, Tasleem berkata, abangnya meninggalkan seorang isteri dan empat anak, dengan yang sulung berusia 10 tahun.
“Abang saya bukan antara penunjuk perasaan, namun polis tetap membunuhnya. Siapa yang patut kami tuntut keadilan sekarang?,” luahnya.
Selepas episod keganasan itu, pihak berkuasa daerah memutuskan sambungan rangkaian internet, mengarahkan penutupan sekolah dan melarang kemasukan pihak luar.
Situasi berkenaan ibarat perintah berkurung buat penduduk setempat.
Setiausaha Kebangsaan Persatuan untuk Perlindungan Hak Sivil (APCR), Nadeem Khan memberitahu Al Jazeera tinjauan oleh penganut Hindu di masjid itu kini berubah menjadi alat politik.
PUNCA PROTES
Mahkamah mengarahkan tinjauan ke premis masjid, yang dilakukan pada hari sama.
Namun, pasukan tersebut kembali untuk lawatan kedua pada 24 November lalu, dan berita itu tersebar dengan cepat sehingga mencetuskan panik di seluruh bandar, kata peguam yang juga sebahagian pasukan tinjauan, Mashood Ali Farooqui.
“Maklumat palsu tersebar begitu cepat yang mengatakan pasukan tinjauan sedang menggali di dalam kawasan masjid. Berita itu menyebabkan kehadiran orang ramai di sekitar masjid,” katanya.
Farooqui berkata, beberapa aktivis mengiringi pasukan tinjauan turut melaungkan slogan nasionalis Hindu, dan menyifatkan tindakan tidak bertanggungjawab memburukkan lagi keadaan.
Plaintif dalam kes ini diketuai oleh peguam, Vishnu Shankar Jain, yang turut terlibat dalam beberapa petisyen sama yang mendakwa terdapat kuil di lokasi beberapa masjid di bandar Uttar
Pradesh, seperti Varanasi, Mathura dan Agra.
Uttar Pradesh kini diperintah oleh Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, yang berhaluan majoriti Hindu.
Sejak tiga tahun lalu, kumpulan nasionalis Hindu dan aktivis mengemukakan pelbagai petisyen kepada badan kehakiman India di beberapa negeri, yang mendakwa kononnya tapak keagamaan Islam dibina di atas kuil Hindu yang dimusnahkan.
Susulan itu, Jabatan Arkeologi India (ASI) dirayu agar diberikan hak pengurusan serta kawalan sepenuhnya ke atas tapak tersebut.
Pada 19 November lalu, sebuah mahkamah tempatan di Sambhal mendengar satu petisyen tersebut, yang mendakwa Kuil Harihar diubah menjadi masjid pada 1529. – UTUSAN










