Ketimbang

Ketimbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di dewan yang sarat dengan suara, di mana berpuluh-puluh wajah terbenam dalam pelbagai lapisan fikiran, ada satu suara yang melengking menembusi kesibukan. Suara itu datang dari seorang lelaki yang berdiri tegak di hadapan mikrofon, suaranya tenang tetapi tajam, seperti pedang yang diselaputi kabut.

“Ketimbang kita terus berdebat tentang angka yang kaku, lebih baik kita menilai kemanusiaan dalam setiap perbelanjaan yang diluluskan untuk negara ini,” katanya, matanya yang redup menatap jauh ke hadapan.

Di celah-celah pengucapan itu, ada beberapa pasang mata yang tertunduk. Bibir yang tersekat, cuba mencari sesuatu untuk dipertikai, mencari kelemahan di dalam tutur kata. Namun, kata-kata yang dituturkan oleh lelaki itu tidak tergugat. Walaupun terisi dengan istilah-istilah yang bukan lazim di telinga mereka, lelaki itu tetap teguh menyampaikan maksudnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, seperti cacing yang meronta di dalam tanah, ada juga suara sumbang dari sudut yang lebih jauh.

“Apa itu ketimbang? Kenapa menggunakan istilah yang pelik seperti itu?” Suara itu menggegarkan kesunyian sekejap, seperti menyentak jantung hati yang tak tenang.

Seperti kilat yang menyambar di malam yang tenang, kritikan itu disambut dengan satu gelombang perdebatan yang semakin membesar. Ada yang merungut, ada yang menyeringai sinis. Bagi mereka, istilah ketimbang itu seperti satu halangan yang tidak perlu. Bagi mereka, ia tidak lebih daripada sekadar kata yang menjanggalkan lidah. Ada yang menggulung-gulung lengan baju, ada yang mengurut-urut tengkuk, tak tahan dengan kejanggalan yang timbul dari satu kata yang mereka tidak fahami.

Seorang ahli parlimen menyentuh lengan rakannya yang duduk di sebelahnya.

“Tak dapat tanduk, telinga dipulas, kita lihat saja, mereka ini terlalu berlebihan. Begitu mudah mencari kesalahan dalam setiap kata,” katanya sambil tersenyum sinis.

Dia termenung sejenak. Dalam hatinya, terbit rasa kesal, tetapi ia juga rasa terpesona dengan ketabahan lelaki di podium itu.

Mereka, yang hanya tahu mengejek, tidak memahami kata-kata itu bukan sekadar kata. Mereka tidak tahu dalam setiap bahasa yang hidup, ada jiwa yang tersembunyi di baliknya. Ada tamadun yang ingin diselamatkan, ada akar budaya yang ingin dipertahankan.

Lelaki itu, dengan penuh kewibawaan, tidak menjawab dengan kemarahan. Sebaliknya, dia tersenyum dengan penuh makna, penuh ketenangan, seolah-olah tahu perjuangan ini bukanlah untuk mendapat pujian, tetapi untuk memastikan bahasa Melayu tetap hidup.

“Apa yang kita sebutkan di sini adalah soal lebih besar daripada sekadar retorik. Ini adalah soal hidupnya bahasa kita,” ujarnya lagi, dengan suara penuh kematangan.

“Bahasa adalah jiwa bangsa. Istilah ketimbang, mahsul, purba sangka, dan tatanan adalah warisan yang harus kita pelihara. Bukankah kita sendiri yang menyebut bahasa itu adalah tiang seri kepada kerukunan negara?”

Bagi lelaki itu, penggunaan istilah yang dianggap janggal bukanlah perkara baru. Istilah seperti pegawai yang sering digunakan sekarang pun, pernah dilihat sebagai sesuatu yang asing, suatu ketika dahulu. Mengapa masyarakat tidak merasa pelik dengan istilah itu? Kerana ia telah diterima dalam jiwa bahasa, dibudayakan dalam percakapan, dan akhirnya menjadi bahasa harian.

Dia teringat kisah lama, kisah dari zaman kerajaan Melayu yang silam. Hikayat Hang Tuah, Tajul Salatin, dan Hikayat Pahang, semua ini mengandungi istilah yang pada masa itu pasti dianggap asing, tetapi kini ia diterima sebagai sebahagian daripada kehidupan.

Di dalam tulisan-tulisan itu, istilah pegawai muncul dengan sendirinya, sebagai simbol kedudukan dan tanggungjawab dalam masyarakat. Semua ini membuktikan bahasa itu hidup, berkembang, dan menyesuaikan diri dengan zaman.

“Jika kita boleh menerima pegawai yang dulu dianggap janggal, kenapa tidak dengan ketimbang? Kita lupa, sejarah telah mengajarkan kita untuk menerima bahasa, bukan menolaknya. Jika kita tidak menjaga bahasa kita, siapa lagi?” katanya menggaris pemikiran.

Namun, dalam kalangan mereka yang hadir, ada juga yang tidak dapat menahan diri. Salah seorang daripada mereka bangun, dengan suara yang lebih lantang dan tajam.
“Ini belanjawan, bukan kuliah bahasa! Kita tidak datang ke sini untuk mendengar pelajaran linguistik, tetapi untuk membincangkan masa depan negara!” Bentaknya.

Lelaki itu tidak terganggu. Dengan penuh sabar, dia menjawab, “Pendidikan itu tidak hanya tentang angka dan statistik. Juga tentang pembentukan akhlak dan jati diri. Belanjawan bukan sekadar angka, tetapi ia adalah cerminan peradaban. Jika kita tidak mengajar bangsa untuk memahami bahasa sendiri, apa gunanya berbicara tentang peradaban?”

Dia berhenti sejenak, menatap wajah-wajah di hadapannya, cuba untuk menangkap apa yang mereka fikirkan. Dia tahu bahasa yang hidup bukan hanya soal kata-kata, cermin dari jiwa rakyat, yang memerlukan pencerahan, yang memerlukan kesedaran akan warisan yang telah lama terlupakan.

Dia tahu dalam setiap perubahan, dalam setiap istilah digunakan, ada nafas baru yang perlu dihidupkan dalam bahasa kebangsaan. Bahasa itu bukan hanya tentang sebutan, tetapi tentang pengertian yang lebih dalam, tentang bagaimana bahasa itu dapat membentuk bangsa dan membangun peradaban.

“Jika ingin menjadi bangsa yang beradab, perlu menjaga bahasa dengan adab. Ini bukan soal menghormati istilah lama atau baru, tetapi tentang menghormati warisan, menghormati akar. Bahasa adalah jiwa bangsa, dan kita adalah penjaganya.”

Di ruangan itu, suasana mulai tenang. Kritikan itu kini terasa semakin pudar, digantikan dengan satu pengertian baru bahasa, dalam segala keunikan dan keistimewaannya, adalah sesuatu yang perlu dihargai dan dipelihara. Dan dalam setiap istilah yang digunakan, ada semangat bangsa yang tidak akan pernah pudar.

Di tengah perbincangan yang semakin reda, seorang lagi ahli parlimen berdiri dengan gaya yang lebih berhati-hati. Dia mengangkat tangan, memberi isyarat untuk mencelah.

“Saya rasa kita harus bertanya pada diri sendiri, apakah telah memberi ruang yang cukup untuk bahasa berkembang? Apakah telah cukup memberi penghargaan terhadap warisan, atau apakah hanya membiarkannya pudar ditelan zaman?”

Pertanyaan itu terhenti di udara seketika. Semua yang mendengarnya seakan-akan terdiam, mengingati kata-kata itu. Ada yang termenung, ada yang hanya mengangguk, tetapi ada juga yang menundukkan kepala, malu dengan perasaan yang tiba-tiba hadir. Perasaan bersalah kerana mungkin telah terlalu lama melupakan betapa berharganya bahasa. Telah terperangkap dalam arus modernisasi, dengan bahasa asing yang menjadi dominan di setiap sudut dunia. Tidak ada yang salah dengan bahasa-bahasa tersebut, namun apa yang telah mereka lupakan adalah betapa pentingnya menjaga bahasa sendiri yang telah menjadi jati diri sejak zaman berzaman.

Lelaki yang berdiri di podium itu, yang telah berjaya menyejukkan suasana dengan kehadiran kata-katanya yang penuh berwawasan, kini tersenyum kecil. Dia tahu, ini bukanlah soal kemenangan dalam perdebatan. Sebaliknya, soal memberi kesedaran kepada mereka tentang tanggungjawab yang lebih besar daripada sekadar mendengar dan menelan setiap perkataan yang dilontarkan. Ini adalah soal menjaga dan memelihara sebuah warisan yang mungkin semakin terpinggir.

“Apa yang lebih penting adalah memahami bahasa itu bukan sekadar alat komunikasi dan manifestasi dari siapa kita. Setiap istilah digunakan menggambarkan kedudukan sebagai satu bangsa.

“Jika tidak menghargai dan memelihara bahasa seolah-olah mengabaikan akar kita. Bagaimana dapat mengharapkan generasi akan datang untuk menghargai bahasa ini jika tidak memperjuangkannya?”

Dia berhenti sejenak, menghirup udara sejuk yang datang melalui jendela yang terbuka, meresap ke dalam parlimen yang penuh dengan fikiran yang bergejolak.

“Ini bukan tentang ketimbang atau apa sahaja istilah yang anggap asing. Ini adalah soal menghargai dan menyuburkan bahasa yang telah membentuk identiti bangsa ini sejak berabad lamanya.

“Saya tidak memaksa sesiapa untuk mengikutinya. Tetapi mengajak semua untuk berfikir. Untuk merenung kembali apa yang telah terima sebagai warisan dan bagaimana boleh terus melangkah ke hadapan dengan menghormati segala yang telah memberi kekuatan selama ini.”

Kata-kata itu seperti sebuah seruan yang bergaung di dalam hati setiap individu yang mendengarnya. Bukan hanya sebuah ajakan untuk melestarikan bahasa, tetapi juga sebuah pengingat tentang nilai yang tersembunyi dalam setiap kalimat yang terucap. Mereka yang mendengarnya kini mulai memahami ketimbang bukanlah sekadar kata yang asing, tetapi simbol kesungguhan untuk menjaga sesuatu yang lebih besar, identiti bangsa yang tidak boleh dipandang ringan.

Dalam keheningan itu, lelaki yang berdiri teguh di podium itu mengakhiri bicaranya, menurunkan mikrofon dengan perlahan, memberi ruang kepada orang lain berbicara. Namun, tiada lagi suara lantang yang membantah. Sebaliknya, dewan itu dihiasi dengan keheningan penuh pengertian, di mana setiap individu mula merenung, memikirkan semula tentang kata-kata yang baru sahaja disampaikan.

Sebahagian daripada mereka mungkin tidak sepenuhnya bersetuju dengan semua diucapkan, tetapi mulai memahami. Bahasa adalah lebih daripada sekadar perkataan yang keluar dari mulut.

Bahasa adalah tentang menghormati asal-usul, menghargai yang telah diturunkan oleh generasi sebelumnya, dan memastikan warisan itu diteruskan kepada generasi yang akan datang.

Setelah itu, suasana dalam parlimen seolah-olah berubah. Ada semangat baru yang terbit di dalam hati setiap orang. Mereka yang dulunya terganggu dengan istilah ketimbang kini mula memandangnya dengan cara yang berbeza. Mereka tidak lagi memandang istilah itu sebagai kekeliruan, tetapi sebagai sebahagian daripada perjalanan panjang bahasa.

Lelaki itu akhirnya duduk kembali di tempatnya, senyuman kecil terukir di wajahnya. Dia tahu telah menanam benih pemikiran yang akan terus berkembang, mungkin tidak hari ini, tetapi suatu hari nanti.

Sebagai penjaga bahasa dan budaya, dia telah melakukan peranannya, jika sekelumit kesedaran ini dapat bertahan dalam hati para pendengar, maka perjuangannya telah mencapai tujuannya.

Sebab, dalam setiap perdebatan yang sengit, dalam setiap perselisihan pendapat, ada satu perkara yang lebih penting menjaga kemuliaan bahasa, dan dengan itu, menjaga kemuliaan bangsa.

Suasana dewan yang sebelumnya dipenuhi dengan kecanggihan hujah kini menjadi sepi, seolah-olah setiap individu di dalamnya terjebak dalam dunia fikiran masing-masing. Tiba-tiba, ada satu bisikan halus yang memecah kesunyian, berasal dari seorang ahli parlimen wanita di barisan belakang.

Dengan suara yang lembut tetapi tegas, “Kita sering terleka dengan arus perubahan, tetapi sesekali harus berhenti dan menilai. Bahasa bukan hanya sekadar alat untuk berkomunikasi, ia adalah tali penghubung antara kita dan sejarah. Tanpa bahasa mungkin sudah hilang jati diri.”

Wanita itu seolah-olah menambah kekuatan kepada apa yang telah disampaikan tadi. Kata-katanya seperti satu penegasan terhadap nilai yang tidak boleh dipandang remeh. Bahasa penghubung yang mengikat mereka semua dari yang muda hingga yang tua, dari yang berilmu hingga yang biasa. Bahasa itu adalah darah yang mengalir dalam tubuh mereka yang menjadikan mereka bangsa yang berani mempertahankan warisan.

Ahli-ahli parlimen yang sebelumnya hampir menyerah dalam perdebatan, kini merasakan sesuatu yang lebih mendalam. Tidak ada lagi perasaan kesal, kebimbangan akan bahasa yang mungkin akan hilang ditelan arus waktu. Mereka semua, walau berbeza pandangan untuk memastikan bahasa terus hidup, bersemi dan berkembang seiring zaman.

Lelaki yang berdiri di podium tadi tersenyum sekali lagi, namun kali ini senyumannya penuh makna dengan penghargaan terhadap setiap individu yang telah membuka mata mereka.

Perbincangan ini tidak akan berakhir dengan kata sepakat yang mudah, namun terus berlanjut di dalam hati ahli-ahli parlimen. Perdebatan bukanlah tentang siapa yang menang atau kalah, menyedarkan satu bangsa, bahasa adalah warisan yang tak ternilai harganya, yang tidak boleh dibiarkan pudar begitu sahaja.

Dan dengan itu, perbincangan itu berakhir, tetapi benih kesedaran yang telah ditanam di hati setiap orang tetap mekar. Ahli-ahli parlimen meninggalkan dewan untuk terus melestarikan bahasa.

Walaupun di luar sana dunia terus berubah, bahasa akan terus hidup.

Lelaki itu adalah perdana menteri yang bercakap persoalan bahasa di sidang belanjawan! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini