Jangan keluar rumah sebelum berkahwin - Jasmin Hamid - Utusan Malaysia

Jangan keluar rumah sebelum berkahwin – Jasmin Hamid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila diukur bakat dan pengalaman, pelakon ini ada segalanya. Hulurkanlah apa sahaja watak, pasti disambut dengan penuh penghayatan. Itulah kelebihan seorang anak seni yang sudah puluhan tahun bergelumang di pentas layar. Skrip yang dipegang bukan sekadar baca untuk dihayati, malah turut dijiwai.

Mencipta nama sejak era 90-an, dia kini dilabelkan antara pelakon hebat yang aktif dan jujur mengisi watak. Walau keterampilannya lebih diingati dalam naskah komedi, namun setiap watak serius dan antagonis yang dibawanya tidak pernah mengecewakan.

Tidak anggap lakonan sebagai hobi, jauh sekali melepaskan batok di tangga, apa yang dilakukan ikhlas demi mata pencarian dan periuk nasi. Baginya populariti yang dikekalkan kini, adalah hasil kerja keras bukannya kontroversi murahan semata.

Bersama Khabar Legenda, pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 1997, Jasmiah Abdul Hamid, atau lebih popular dengan panggilan Jasmin Hamid, 47, berkongsi cerita kehidupan serta kerjaya terkininya

“Alhamdullillah, kehidupan hari ini cukup menggembirakan. Saya jalani dengan penuh kesempurnaan dalam sebuah keluarga yang sentiasa ceria.

“Anak-anak merupakan pengikat kasih sayang dalam kehidupan. Hubungan kami cukup akrab, tiada rahsia, malah kami berkongsi segalanya,” katanya memulakan bicara.

Umum mengetahui, selain mempunyai seorang anak lelaki, Ian Haziq MacQuistan hasil perkahwinan terdahulu, Jasmin turut memelihara empat anak angkat termasuk dua anak daripada adik kandungnya.

Gembira membesarkan mereka di depan mata, dia sama sekali tidak pernah mengungkit mahupun membezakan kasih sayang antara satu sama lain. Apa yang dilakukan adalah ikhlas tanpa menuntut balasan di kemudian hari.

“Anak-anak ini semuanya kiriman daripada Allah SWT. Saya menerima amanah untuk membesarkan mereka sebaik mungkin. Saya anggap mereka seperti anak sendiri. Tiada langsung perasaan pilih kasih.

“Saya tatang mereka bagai minyak yang penuh. Mereka manja dengan saya, kalau di rumah masih tidur bawah ketiak saya. Saya besarkan mereka dengan penuh perhatian dan kasih sayang termasuk pendidikan secukupnya.

“Ketika mereka kecil dahulu, setiap kali shooting, arwah emak dan pembantu yang akan menjaga mereka, sampailah sehinggalah semuanya sudah dewasa,” jelasnya.

Tidak menyembunyikan rasa sedih apabila anak-anak menginjak dewasa, dia menerima ketentuan esa dan berlapang dada ekoran terpaksa berpisah dengan anak angkatnya, Lukman Hakim Azmi yang baru sahaja mendirikan rumah tangga.

Seawalnya dia sudah punya peraturan dan syarat tertentu yang diterapkan. Anak-anak tidak dibenarkan hidup sendiri (keluar rumah) selagi belum berkahwin. Dia tidak mahu mereka hanyut dengan kehidupan sendiri tanpa kawalan dan perhatian.

Rules saya cukup mudah. Selagi belum berkeluarga mereka adalah tanggungjawab saya. Bukannya bermaksud saya kongkong kehidupan mereka, tapi takut kalau mereka hanyut di luar sana. Saya tak pernah halang mereka nak keluar melepak atau pergi berhibur bersama rakan-rakan, janji kena beritahu dan mesti pulang ke rumah.

“Kita dahulu pun pernah lalui zaman remaja, memang adakalanya memberontak. Apa yang keluarga buat ketika itu ada saja rasa yang tak kena, tetapi bila sudah jadi emak barulah saya faham bagaimana perasaan itu,” katanya.

Ditebak pertanyaan adakah dia bersedia untuk memelihara anak angkat lagi pada masa hadapan, peserta Dewi Remaja 1990 ini akui apa yang dilakukan ketika ini sudah memadai. Bukan ingin menolak, namun banyak yang perlu difikirkan termasuk komitmen tinggi dalam kerjayanya hari ini.

“Dahulu ada emak senang sikit untuk tengok-tengokkan mereka, tapi lepas emak meninggal pada 2016, saya bergantung sepenuhnya kepada pembantu rumah untuk menjaga mereka.

Tidak boleh duduk diam tanpa buat kerja

“Pembantu rumah pula kita faham-faham sudahlah. Bukan 100 peratus kita boleh serahkan tanggungjawab pada mereka. Ada waktu kena pantau juga,” katanya.

Berbicara tentang kerjaya seni, pemegang watak drama komedi popular Datin Wan Abe ini akui pandemik Covid-19 yang berlaku hari ini adalah waktu sukar buat semua penggiat seni dan pemain industri. Bukan sekadar merubah kehidupan seharian, malah ramai terkesan dan hilang punca pendapatan.

“Tahun lalu waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang semua stop shooting. Waktu itu saya buat bisnes roti jala dan ambil tempahan secara dalam talian. Alhamdullillah, sambutan cukup menggalakkan.

“Sebenarnya saya ini bukanlah hendak berniaga sangat, tetapi bila banyak masa di rumah itu lebih baik saya buat sesuatu yang berfaedah. Sekurang-kurangnya dapat juga income tambahan.

“Kuih roti jala ini ada memori istimewa dalam hidup saya. Arwah ibu dahulu cukup suka. Jadi bila teringatkan itu saya buat dengan penuh kesungguhan. Alhamdullillah, pelanggan memuji dan puas hati,” katanya.

Tidak boleh duduk diam tanpa melakukan kerja, pemegang watak popular drama Maria Mercedes ini akui dia akan berasa lesu dan lemah jika hanya duduk di rumah tanpa berbuat apa.

“That’s my passion. Saya tak boleh duduk di rumah tanpa buat sebarang kerja. Rasa letih dan lemau. Mungkin selama ini saya sentiasa sibuk, jadi bila PKP saya agak blur. Kepuasan kerja di set penggambaran itu tidak sama seperti kerja di rumah,’’ ujarnya.

Tidak menafikan akan terus mengabdikan diri dalam dunia lakonan sehinggalah jika satu hari nanti khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi.

Bersyukur dengan tawaran yang tidak pernah putus, dia berharap peminat terus menyokong usahanya mengukuhkan tapak dalam industri dan menjadi terbaik dalam setiap hasil kerjanya.

“Buat masa ini saya sedang sibuk habiskan penggambaran drama berjudul, Cukup Derita Itu untuk slot Samarenda arahan Along Kamaruddin yang sudah lama tergendala sebelum ini akibat PKP.

“Sekarang ini kena habiskan cepat kerana tarikh tayangan akan bermula pada 6 Mei ini. Memang tahun ini agak mencabar sikit kerana terpaksa bekerja di bulan Ramadan. Ikutkan sebelum ini setiap kali Ramadan saya akan ambil cuti untuk berehat sebulan,” katanya menutup perbualan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×