Tiada pergolakan, hanya 'cakap-cakap' - Hamzah

Tiada pergolakan, hanya ‘cakap-cakap’ – Hamzah

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiada pergolakan atau perpecahan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan ia hanya ‘cakap-cakap’ segelintir pihak, kata Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, kepimpinan parti itu masih utuh selepas pemilihan parti pada Oktober lalu.

Katanya, keutuhan parti dapat dilihat menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) terakhir tahun ini yang berlangsung semalam.

“Siapa kata kita berpecah sedangkan sesi pemilihan dijalankan dalam keadaan aman damai. Semua itu hanya ‘soksek’ (cakap-cakap) kononnya Bersatu sedang berkocak.

“Itu perkara biasa dalam sesebuah parti. Malah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kini Naib Presiden) juga hadir memberi sokongan kepada saya yang menjadi Timbalan Presiden pada hari pertama ini,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan sayap-sayap Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, semalam.

Perhimpunan kali ketujuh itu dihadiri kepimpinan parti dan lebih 2,000 perwakilan Armada, Srikandi, Srikandi Muda dan Bersekutu.

Hamzah berkata, semua sayap dan akar umbi diminta meneruskan perjuangan dengan ikhlas dan tidak merebut jawatan semata-mata.

“Kita perlu menjadi nakhoda kapal dalam menentukan masa depan yang lebih baik untuk negara ini selepas lapan tahun usia penubuhan Bersatu ini.

“Ibarat pepatah dunia kita kendong, akhirat kita junjung. Kita berhimpun bukan kerana suka-suka tetapi berlandaskan semangat kesatuan demi bangsa Melayu, bumiputera dan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Katanya, negara ketika ini diuruskan kumpulan pemimpin beberapa parti yang bukan saja berbeza ideologi dan sikap malah tidak pernah mempercayai antara satu sama lain.

“Mereka hanya bersama berlandaskan ledakan nafsu. Ia diibaratkan rumah kaca yang rapuh dan retak menanti belah.

“Terlalu banyak kecelaruan yang ada di negara ini dan kita perlu bersama mengubah keadaan itu,” katanya.

Hamzah berkata, parti itu mahu kejayaan lebih besar kerana hanya Perikatan Nasional (PN) mampu merampas Putrajaya kelak.

“Kita bukan sekadar bermimpi namun akan berjuang habis-habisan bagi menentukan kejayaan untuk agama, bangsa dan negara. Rakyat sedang menunggu kita pada pilihan raya akan datang dan kesiapsiagaan bukan hanya untuk memenangi kerusi namun hati mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×