MELAKA: Peruntukan sehingga RM8 juta untuk kerja-kerja menaik taraf Jejantas Melaka Sentral seperti dilaporkan portal berita kerajaan negeri baru-baru ini, sepatutnya disalurkan kepada projek-projek yang lebih bermanfaat.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, antara perkara yang boleh dimanfaatkan rakyat daripada dana itu adalah menyelesaikan masalah perparitan yang menyebabkan banjir kilat.
Menurut beliau, dana tersebut juga boleh digunakan bagi menyelesaikan isu mendapan tanah di bahagian belakang Terminal Melaka Sentral yang telah berlarutan.
“Soalannya, siapa selepas ini yang banyak memanfaatkan jejantas yang mewah dan cantik ini? Kepada rakyat Melaka, pastikan jangan ketinggalan gunakan jejantas ini. Sudah cantik, sudah mewah, sudah belanja besar kita patut gunakan.
“Selain membuat jejantas, alangkah baiknya kalau RM8 juta ini dimanfaatkan dengan perkara-perkara yang asas untuk rakyat. Banyak lagi masalah rakyat yang boleh kita selesaikan dengan RM8 juta itu.
“Sama ada kerajaan tidak tahu, ataupun kerajaan buat-buat tidak tahu. RM8 juta itu hendak gunakan selesaikan masalah-masalah perparitan yang ada yang menjadi punca banjir itu pun boleh. Kalau tidak semua pun, adalah sebahagian yang dapat diselesaikan,” katanya.
Bagaimanapun, semakan mendapati, laporan bertajuk ‘RM8 juta naik taraf Jejantas Melaka Sentral’ itu telah dipadamkan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, proses pengubahsuaian struktur dan menaik taraf keceriaan Jejantas Melaka Sentral dijangka siap Disember ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, jejantas tersebut akan berwajah baharu dengan mengambil konsep Pintasan Saloma di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Kata beliau, jejantas itu merupakan satu lagi produk pelancongan baharu Melaka sempena Hari Pelancongan Sedunia yang berlangsung pada tahun depan. – UTUSAN










