Muhammad Hazim ubah persepsi pengajian agama

Muhammad Hazim ubah persepsi pengajian agama

Muhammad Hazim bersama ibu bapa, isteri dan dua anaknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelajar lulusan pengajian Islam sering dimomokkan sukar mendapat peluang pekerjaan ketika ini.

Sementelah lagi timbul persoalan sinikal mengatakan belajar bidang islamik tiada jaminan pendapatan lumayan.

Namun, Muhammad Hazim Kamal, 33, membuktikan sebaliknya.

Dia yang kini bergelar guru merangkap penolong kanan Hal Ehwal Murid di sebuah sekolah Kelas Al Quran dan Fardhu Ain ( KAFA ) memikul tanggungjawab itu sejurus menamatkan pengajian Sijil Syariah di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI), Terengganu.

“Rezeki itu datang dari Allah SWT dan telah ditentukan sejak azali lagi.

“Setiap rezeki manusia berada dalam ilmu pengetahuan Allah. Kita dikurniakan akal fikiran bersesuaian dengan kemampuan dan takdir berbeza antara satu sama lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mencintai dunia pendidikan

Hazim berkata dunia pendidikan adalah jiwanya.

Dia mahu melahirkan dan mendidik pelajar menjadi seorang insan berilmu, berakhlak serta memiliki sahsiah peribadi yang mulia.

Begitupun, Hazim mengakui tidak terlepas berdepan masalah membabitkan disiplin pelajar, silibus pendidikan serta persekitaran yang memerlukan tindakan segera.

“Saya mencintai bidang perguruan sejak dari hari pertama saya memulakan tugas. Biarpun adakalanya saya keletihan, namun ia mengajar saya menjadi seorang yang bertanggungjawab, bersabar dan bersyukur.

“Kita juga mempunyai anak yang akan belajar di sekolah dan dididik oleh guru berbeza. Jadi anggap kesemua pelajar itu adalah anak kita,” katanya.

Biarpun sbersahabat baik dengan pelajar namun, adakalanya Hazim bertegas dengan pelajar mengikut keadaan.

Tugasnya meliputi pelbagai skop termasuk menghadiri kelas harian, pentadbiran, menyiapkan laporan, mengendalikan program dan bengkel untuk pelajar, warga sekolah serta ibu bapa.

Dia juga menjadi sekretariat untuk beberapa majlis utama sekolah yang diadakan saban tahun.

Pengalaman dan kepakaran ditagih

Dek pengalaman luas dan kepakaran yang dimiliki, nyata memberi kelebihan kepada Hazim.

Dia turut memegang jawatan penting dalam tampuk pengurusan sekolah pra-pendidikan Islam sejak tahun lalu.

“Sebenarnya tugas ini tidak dapat dilakukan secara individu dan mesti digerakkan secara berpasukan, maka insya-Allah keberkatan berpasukan itu akan dapat menatijahkan segala perancangan gerak kerja yang baik.

“Tujuan utama adalah untuk menyumbang dalam dunia pendidikan secara holistik”,” katanya.

Hazim juga sering terlibat dalam pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui mesyuarat berkala berkenaan keperluan-keperluan semasa yang diperlukan bagi menjadikan institusi pendidikan, khususnya Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam menjadi pelopor di kawasan Bangi.

Selain menjadikannya mampu berdaya saing dan melahirkan generasi Rabbani Murabbi yang cintakan al-Quran dan kukuh Aqidah.

Di samping itu, tetap mementingkan kemajuan dalam bidang profesional untuk memberi sumbangan kepada agama, ummah dan negara.

Berpegang asas aqidah

Seiring peredaran masa, kaedah pengajaran juga dilihat sudah berubah..

“Setiap zaman pasti ada perubahan. Pelajar kita adalah terdiri daripada generasi baharu.

“Maka ia perlu diikuti seiring zaman tanpa meninggalkan perkara pokok asas aqidah utama iaitu Ma’rifatullah dan tidak mengenepikan tujuan asal pendidikan itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, disoal isu membabitkan perihal kebajikan guru KAFA yang sering menjadi perbualan masyarakat ketika ini, kata Hazim ia menyerahkannya kepada pihak berwajib.

Katanya, dia percaya pihak berwajib mempunyai kaedah dan pendekatan terbaik untuk menangani isu berbangkit dengan bijak, adil dan saksama demi kebaikan semua pihak.
imam madrasah

Hazim juga menjawat jawatan sebagai imam Madrasah Cheras Perdana dan Ketua Biro Dakwah Masjid Bandar Tun Hussein Onn.

Dia mempunyai misi untuk menjalinkan hubungan erat dengan anak kariah khususnya golongan belia.

“Bagi menarik sasaran yang lebih umum, kita perlu meraikan minat dan kehendak remaja dan menyalurkan minat mereka kepada landasan yang betul di samping tetap menerapkan nilai islam walau dalam berhibur atau bersukan,” ujarnya

KELUARGA JADI KEUTAMAAN

Sesibuk mana pun, dia tidak melupakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Hasil perkahwinan dengan suri hati, Nurul Syifa’ Zakaria diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata lelaki iaitu Hanzhalah Al Hayyan dan Hamka Al Hibban .

“Saya perlu sentiasa bijak mengatur waktu. Saya sedaya upaya meluangkan masa bersama keluarga biarpun sebentar.

“Kebahagiaan isteri dan anak-anak paling bernilai dan penawar hati saya,” katanya yang juga gemar mengisi masa lapang dengan aktiviti sukan berkuda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×