TOKYO: Gempa bumi berukuran 6.6 magnitud melanda kawasan barat pantai Jepun di wilayah Ishikawa semalam, menurut laporan Agensi Meteorologi Jepun.
Gempa yang berlaku pada jam 9.47 malam waktu tempatan itu direkodkan pada kedalaman tujuh kilometer (km) di dasar laut.
Sementara itu, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) mencatatkan kekuatan gempa sebagai 6.1 magnitud, dengan lokasi pusat gempa kira-kira 42 kilometer di barat laut bandar Hakui.
Tiada laporan kerosakan besar atau amaran tsunami dikeluarkan.
“Gempa ini dijangka menyebabkan sedikit perubahan paras laut, namun tiada risiko kerosakan,” jelas Agensi Meteorologi Jepun dalam kenyataan.
Pihak berkuasa melaporkan, sebanyak 13 gempa susulan dengan intensiti seismik satu atau lebih tinggi direkodkan sejak gempa utama berlaku.
Penduduk di kawasan yang merasai gegaran kuat dinasihatkan untuk kekal tenang dan berwaspada terhadap sebarang kejadian susulan.
Pada Januari lalu, satu gempa bumi besar melanda Semenanjung Noto dan kawasan sekitar di tengah Jepun, mengorbankan 281 orang di wilayah Ishikawa.
Wilayah Ishikawa terletak di kawasan Chubu di Pulau Honshu, pulau utama Jepun, membentuk semenanjung yang ketara di pantai barat negara itu. -AGENSI










