HATYAI, Thailand: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjalin kerjasama strategik bersama Hatyai Municipality dalam usaha menarik pelancong dari Selatan Thailand untuk menjadikan Ipoh sebagai pilihan destinasi kunjungan mereka.
Ahli Majlis MBI, Muhammad Hamzah Md Hamdan berkata, Ipoh mempunyai pelbagai tarikan menarik dan unik termasuk deretan bangunan kolonial yang berusia ratusan tahun untuk dilawati.
“Keistimewaan lain yang dimiliki Ipoh adalah keunikan makanan tempatan, yang menjadi tarikan utama bagi pelancong luar, ramai daripada mereka hanya ingin menikmati pelbagai hidangan khas yang ditawarkan,” katanya dalam forum Majlis Muhibban Media Perak dan Selatan Thailand dalam mempromosi industri pelancongan dua hal yang melibatkan 39 wakil media dan MBI di Songkhla, Thailand baru-baru ini.
Hadir sama Senator Wilayah Songkla merangkap Presiden Persatuan Media Selatan Thailand, Chaiyong Maneerungsakul dan Timbalan Datuk Bandar Hatyai, Sumrit Boonrat.
Perbincangan melibatkan kerjasama dua hala antara MBI dan Hatyai City Municipality.
Muhammad Hamzah berkata, terdapat pelbagai aspek yang dapat mendorong pelancong dari selatan Thailand ke Ipoh, namun kekangan yang wujud perlu diatasi terlebih dahulu.
“Antara maklum balas dari pihak Hatyai Municipality adalah akses masuk ke negara kita agak sukar berikutan terlalu banyak sekatan keselamatan.
“Mereka memang berminat untuk bercuti ke negeri kita namun sekatan keselamatan menjadikan mereka rasa tidak selesa,” katanya. – UTUSAN











