Kenapa guna dana KWAN untuk program imunisasi? - Utusan Malaysia

Kenapa guna dana KWAN untuk program imunisasi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tidak sepatutnya digunakan sesuka hati meskipun bagi tujuan memperoleh vaksin dan membiayai perbelanjaan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridz­wan Shah Mohd. Dali menyifatkan, tindakan kerajaan itu sudah tentu menimbulkan tanda tanya kerana ia tidak pernah digunakan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu.

“Kalau nak kata kerajaan tidak ada duit, boleh jadi sebab mungkin ada perbelanjaan yang perlu ditampung. Bajet untuk vaksin sudah ada, tapi kita tidak tahu kos sebenar operasi yang ditanggung kerajaan ketika ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau betul tidak ada duit, kerajaan kena buat pinjaman dan ada banyak pilihan. Tapi tak boleh pinjam pihak lain ke sampai kena pinjam KWAN? Ini duit negara, tapi kita nak tahu juga ia untuk kegunaan apa. Mungkin perkara ini patut di­bincangkan di Parlimen, kerana setakat ini belum ada justifikasi terhadap tindakan tersebut,” katanya.

Beliau mengulas tindakan mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 (KWAN) bagi membolehkan kerajaan menggunakan dana untuk memperoleh vaksin dan per­belanjaan program imunisasi.

Belanjawan 2021 telah memperuntukkan RM3 bilion untuk perolehan vaksin, sebelum ditambah lagi RM2 bilion melalui pakej Pemerkasa bulan lalu.

Bagaimanapun, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School (PBS) berkata, kerajaan kemungkinan berhasrat mempercepat proses penvaksinan kerana berdasarkan kadar pembeliannya ketika ini, ia menjadi lebih giat pada Jun ini.

“Walaupun sudah menerima peruntukan dari Belanjawan 2021 dan Pemerkasa, kerajaan mungkin mahu cepatkan pro­ses penvaksinan lebih awal lagi. Jangkaan 80 peratus po­pulasi divaksin sekarang ini sekitar Oktober dan November.

“Mungkin dengan pembe­lian lebih banyak vaksin, matlamat 80 peratus divaksin tercapai lebih awal,” katanya di sini semalam.

Pada masa sama, Razman juga berpandangan kerajaan mahu bersiap sedia dengan gelombang keempat penularan wabak Covid-19.

Namun, Razman menyifatkan pengeluaran wang tersebut tidak menjejaskan KWAN pada masa akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini