PETALING JAYA: Undang-undang yang tidak jelas menjadi cabaran utama pihak berkuasa agama untuk menyiasat dan mendakwa kumpulan ajaran sesat yang semakin aktif menggunakan platform dalam talian menyebarkan fahaman mereka.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, antara kekangan utama adalah bagaimana untuk menentukan lokasi kesalahan dilakukan dan di mana tertuduh bakal dihadapkan ke mahkamah.
Katanya, ini kerana kesalahan jenayah syariah dalam talian boleh berlaku di mana-mana sahaja tanpa mengira sempadan negeri, di samping wujudnya perbezaan bidang kuasa antara negeri sekali gus menyukarkan pihak berkuasa agama membawa kes tersebut ke muka pengadilan.
“Sebagai contoh, jika pihak berkuasa agama di Selangor mengesan kesalahan jenayah syariah dalam talian yang bermula di Terengganu, tindakan hanya boleh diambil oleh pihak berkuasa agama Terengganu.
“Oleh demikian, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah mengambil contoh peruntukan dalam Seksyen 153(3) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) untuk diserapkan ke dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sebarang penyebaran ajaran sesat melalui platform media sosial boleh didakwa selepas pindaan terhadap Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560] dan Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 561] dilaksanakan.
Pindaan akta-akta itu akan dibuat oleh Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JaPenSWP) berhubungan kesalahan jenayah syariah yang dilakukan secara dalam talian atau diterbitkan secara elektronik.
Mengulas lanjut, Musa berkata, kekangan turut berlaku dalam aspek penguatkuasaan dan tangkapan memandangkan bidang kuasa mahkamah syariah tertakluk kepada pihak berkuasa negeri.
Kata beliau, kerjasama antara negeri perlu diperkukuh bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan sekali gus memudahkan proses tangkapan serta pendakwaan.
“Pihak berkuasa agama negeri dan kerajaan negeri perlu bekerjasama bagi memastikan penguatkuasaan lebih berkesan dapat dilakukan,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya berkata, kekangan itu bukan sahaja merangkumi kelemahan sistem perundangan malah melibatkan isu-isu teknikal dan kelemahan struktur organisasi yang perlu diberi perhatian serius.
Katanya, tindakan perundangan bagi menangani ajaran sesat perlu diperhalusi dan diperbaiki untuk memastikan keberkesanan penguatkuasaan.
“Perlu ada penambahbaikan dalam sistem latihan, pendedahan serta kuasa yang diberikan kepada pegawai penguatkuasa bagi membanteras ajaran salah dengan lebih tuntas,” katanya.
Selain itu, Ismail berkata, semua fatwa yang diwartakan perlu mematuhi keperluan undang-undang untuk dikuatkuasakan dengan berkesan.
“Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) juga tidak boleh hanya bergantung kepada fatwa yang diwartakan untuk menjalankan tugas mereka,” katanya. – UTUSAN










