PARIS: Matthew Richardson memenangi perlumbaan akhir pecut dan keirin pada Liga Juara-Juara Trek di sini sejak menukar kerakyatan menjadi warga Britain dari Australia.
Pelumba berusia 25 tahun yang lahir di Kent sebelum berhijrah ke Australia pada usia sembilan tahun sebelum ini berlumba mewakili Australia di Sukan Olimpik Paris tetapi mengambil keputusan untuk mewakili Britain.
Dia sebelum ini tewas kepada Harrie Lavreysen dalam perlumbaan akhir pecut di Saint-Quentin-en-Yvelines di temasya tersebut, namun di velodrom yang sama kali ini, Richardson mengalahkan pelumba dari Belanda itu dalam pusingan pertama liga itu.
Richardson pada mulanya berkayuh jauh di kanan lawannya sebelum memintas Lavreysen dan memecut ke garisan penamat meninggalkan pelumba dari Belanda itu.
Dalam acara akhir keirin. Richardson sekali lagi memintas lawan yang sama untuk meraih pingat emas.
“Saya tidak pernah menewaskan Lavreysen dalam acara pecut dan keirin pada malam yang sama (perlumbaan). Jadi, ia sungguh mengujakan. Saya berkayuh dengan baik dan ia meningkatkan keyakinan saya dalam perlumbaan seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, pelumba wanita Britain, Katie Archibald yang terlepas beraksi di Olimpik, Ogos lalu kerana mengalami patah kaki selepas terlibat dalam kemalangan turut mempamerkan kebangkitan menakjubkan apabila menang acara scratch.
Seorang lagi pelumba wanita Britain, Emma Finucane juga meraih kemenangan dalam acara akhir pecut selepas menewaskan pencabar dari Columbia, Martha Bayona. – AGENSI/UTUSAN











