Wanita yang ingin hamil perlu berhati-hati dalam pengambilan makanan termasuk ubat-ubatan kerana ia boleh mendedahkan bayi dalam kandungan dengan Spina Bifida dan kecacatan saraf .
Spina bifida adalah kecacatan atau kecanggaan tiub saraf yang berlaku sejak dalam rahim ketika pembentukan janin, akibat tiub saraf tidak terbentuk dengan sempurna di bahagian korda spina atau sistem saraf tunjang. Bayi yang mengalami spina bifida mungkin dilahirkan dengan sebahagian saraf tunjangnya terdedah di belakang melalui bukaan dalam spina (tulang belakang).
Saraf tiub adalah struktur dalam perkembangan embrio yang akan menjadi otak bayi dan korda spina (saraf tunjang) bayi, tulang belakang dan tisu berhampirannya.
Pada pembentukan normal, saraf tunjang terbentuk di sepanjang dalam tulang belakang punggung embrio dan akan menutup secara semulajadi apabila kehamilan memasuki usia ke-28 hari.
Felo Penyelidik Bersekutu Jabatan Sains Bioperubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ahli Lembaga Pengarah UPM, Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz berkata, bakal ibu perlu menjauhi makanan yang diproses.

“Ini termasuk minuman ‘kesihatan’ juga perlu dijauhi. Jika ingin mencegah spina bifida, pastikan ibu hanya makan dan minum daripada sumber semulajadi. Makanan seperti minyak kelapa yang menyebabkan penurunan berat badan juga tidak bagus untuk pembentukan janin.
“Contoh ubat-ubatan yang perlu dielakkan jika ingin atau sedang hamil adalah seperti antibiotik Bactrim yang mengandungi trimethoprim. Pil kurus juga tidak bagus untuk pembentukan janin,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambahnya, pengambilan gula berlebihan dan kecenderungan terhadap penyakit kencing manis atau diabetes atau Pra-diabetes dan diabetes dalam perut (gestational diabetes), juga adalah faktor yang meningkatkan risiko melahirkan anak spina bifida.
“Spina bifida bukan penyakit, ia adalah suatu pathophysiology. Spina bifida terbuka (aperta) dapat dikesan oleh ahli ultrasonografi pada minggu ke-20 pembentukan janin.
“Kira-kira 80 peratus spina bifida bercirikan faktor-faktor persekitaran seperti pengambilan ubat dan makanan, bukannya sebab-sebab keturunan,” katanya.
Lelaki lebih ramai alami spina bifida
Tidak kurang daripada 7,000 rakyat Malaysia mengalami spina bifida pada bila-bila masa tetapi bukan semua berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.
Peringkat global, terdapat lebih ramai wanita daripada lelaki mengalami spina bifida kerana pembentukan tiub saraf janin perempuan lebih lambat berbanding lelaki. Bagaimanapun, nisbahnya tidak jauh dari 1:1.
Satu kajian pengamatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya menunjukkan lebih ramai lelaki mengalami spina bifida berbanding wanita, namun faktor yang menyebabkan perkara ini tidak dikaji.
Anak derita akibat Spina Bifida
Spina bifida terdiri daripada jenis ringan hingga serius. Gejala dialami bergantung kepada aras pada tulang belakang terbabit dan saiznya. Gejala juga bergantung kepada sama ada saraf tunjang dan saraf terbabit.
Dr. Noraishah berkata, bayi yang lahir dengan spina bifida akan menderita akibat ketidakupayaan saraf untuk berfungsi.
“Ia juga berpotensi menyebabkan pundi kencing lumpuh, kencing tidak lawas dan ketidakupayaan kaki untuk rasa dan bergerak sepenuhnya. Masalah ini kesemuanya disebabkan oleh saraf korda spina yang sumsum tulang terikat (tethered cord syndrome) dan boleh di atasi dengan pembedahan pelepasan saraf diikuti dengan sokongan riadah bersesuaian bersama kasut sokongan (ortosis) sekiranya perlu, “ katanya.
Jenis spina bifida
Spina bifida terbahagi kepada dua iaitu spina bifida aperta (terbuka) merangkumi myelomeningocele dan spina bifida occulta (tertutup) iaitu lipomyelomeningocele, myelomeningocele atau jenis jarang berlaku iaitu meningocele.
Spina bifida occulta bermakna tersembunyi dan ia jenis ringan serta paling kerap berlaku iaitu ruang kecil dalam satu atau lebih tulang yang dipanggil vertebrae.
Kebanyakan yang mengalami spina bifida ini tidak tahu mereka mengalaminya. Ia mungkin dikesan ketika ujian X-ray untuk mengesan masalah kesihatan lain.
Myelomeningocele
Myelomeningocele adalah jenis spina bifida serius yang dikenali sebagai spina bifida terbuka. Spina bifida terbuka memerlukan pakar bedah saraf (neurosurgeon) untuk menutup bahagian belakang anak terbabit secepatnya setelah dilahirkan.
Saluran tulang belakang terbuka di sepanjang beberapa vertebra di bahagian bawah atau tengah belakang.
Sebahagian daripada saraf tunjang, termasuk penutup pelindung saraf tunjang dan saraf tunjang, menolak melalui bukaan ini semasa lahir, membentuk kantung di belakang bayi. Tisu dan saraf biasanya terdedah.
Ini menjadikan bayi terdedah kepada jangkitan berbahaya. Jenis ini juga boleh menyebabkan kehilangan pergerakan di kaki dan, dan pundi kencing terkesan dan disfungsi usus.
Lipomyelomeningocele
Lipomyelomeningocele adalah jenis spina bifida tertutup yang boleh menjadi serius sekiranya tidak dipantau oleh pakar bedah saraf dan pakar bedah bahagian kencing (urologist).
Sebahagian daripada saraf tunjang, termasuk penutup pelindung saraf tunjang dan saraf tunjang terikat pada kedudukan tertentu menyebabkan saraf tidak dapat menjalankan tugasnya dan menghasilkan kecacatan.
Meningocele
Ini adalah jenis spina bifida yang jarang berlaku. Dalam jenis ini, kantung cecair tulang belakang membonjol melalui bukaan di tulang belakang.
Tiada saraf terjejas dan saraf tunjang tidak berada dalam kantung cecair. Bayi yang menghidap meningocele mungkin mengalami masalah kecil untuk berfungsi, termasuk pundi kencing dan usus.
Rawatan spina bifida
Rawatan spina bifida bergantung kepada jenisnya. Pembedahan pranatal boleh dijalankan dalam trimester kedua kehamilan untuk membetulkan bukaan sebelum bayi dilahirkan tetapi sangat berisiko untuk ibu dan bayi.
“Rawatan ini tidak dibuat di Malaysia. Ia juga dianggap tidak berbaloi bagi saya kerana individu spina bifida memerlukan pembedahan pelepasan saraf berkali-kali sehingga menjangkau umur 18 tahun .
“Pembedahan juga perlu dilakukan selepas kelahiran untuk menutup bukaan spina (untuk spina bifida aperta) dan menangani hidrosefalus yang sering dikaitkan dengan spina bifida. Namun ia bukan spina bifida dan tidak berlaku pada lebih 80 peratus kes spina bifida di dunia yang mendapat rawatan dari neurosurgeon yang pandai dan bertauliah, “katanya. – UTUSAN










