“CARILAH kerja lain yang ‘halal’, tak takut ke bagi suami dan anak-anak makan duit haram!”
Berulang kali kata-kata kesat itu dilemparkan kepada Dr. Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali hanya kerana tugasannya sebagai veterinar yang perlu merawat anjing.
Tidak cukup dengan caci maki dan hinaan, beliau turut menerima ancaman serta ugutan daripada beberapa individu yang anti melihatnya merawat haiwan tersebut menerusi video-video yang dikongsikan di sosial media.
Antara ugutan itu ialah mahu mengapa-apakan dirinya jika bertemu di luar alam maya.
Walaupun sosial medianya sentiasa dihujani komen-komen brutal, namun tidak melunturkan semangat wanita berusia 39 tahun ini untuk terus mendidik masyarakat agar bersikap ihsan terhadap binatang.
Sebagai doktor haiwan, ikrarnya adalah untuk merawat semua jenis binatang termasuk anjing dan khinzir yang dikategorikan sebagai haram.
Katanya, prinsip tersebut selari dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya berbuat baik dan menjaga kebajikan semua haiwan.
“Inilah cabaran terbesar yang perlu dilalui veterinar Muslim kerana segelintir orang masih tidak faham yang kami juga perlu merawat anjing dan ihsan kepada haiwan itu.
“Hinggakan ada yang menyuruh saya tukar profesion ‘halal’, di samping tuduh saya buat kerja ‘haram’, tidak solat dan mengugut.
“Hal itu kerana stigma ‘pegang anjing adalah haram bagi orang Islam’ masih wujud dalam masyarakat kita walaupun niat saya adalah untuk merawat,” katanya kepada Seri.
Di sebalik cabaran tersebut, Salehatul Khuzaimah atau mesra disapa Dr. Ima tetap berlapang dada dan memberikan penjelasan lengkap kepada setiap soalan-soalan provokasi yang mempertikaikan tindakannya itu.
Katanya, tindakan tidak memakai sarung tangan ketika merawat anjing bukan untuk mencabar agama, sebaliknya bagi mendapatkan kepercayaan haiwan itu agar selesa dan tidak rasa terancam.
Dalam masa sama, langkah itu dapat memudahkan pemeriksaan fizikal dilakukan terutama bagi mengesan benjolan, ketumbuhan atau luka yang sukar dilihat dengan mata kasar.
“Selepas sentuh dan rawat anjing, saya akan segera sertu tangan serta meja, manakala bagi pakaian pula akan ditukar untuk solat. Semua perkara ini saya sudah rujuk dengan pelbagai ustaz.
“Veterinar bukan sengaja mahu sentuh anjing tetapi ia adalah antara adab atau ihsan kami kepada pesakit. Jika terus terjah, pasti muka saya cedera digigit haiwan itu.
“Sebab itu saya ambil pendekatan untuk jelaskan kembali tujuan saya berbuat demikian, walaupun segelintirnya tidak boleh terima tetapi saya tetap teruskan untuk makluman orang-orang lain,” katanya.
Mengambil hikmah dengan apa yang terjadi, katanya, ia membantu membuka mata orang ramai terhadap bidang tugas veterinar yang luas.
Dalam masa sama, beliau dapat menilai tahap pemikiran masyarakat sekali gus mencari formula terbaik untuk mendidik agar bersikap ihsan kepada haiwan terutama yang tergolong dalam najis mughallazah.
Digelar doktor Snow White
Ihsannya kepada pesakit membolehkannya digelar doktor Snow White dalam kalangan pengikutnya di media sosial.
Rata-ratanya tersentuh melihat cara layanan, belaian dan keikhlasan Salehatul Khuzaimah ketika merawat haiwan.

Justeru, tidak hairanlah ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara enam hingga 12 tahun ini disayangi semua haiwan berikutan karakternya yang disamakan dengan watak animasi puteri Disney itu.
“Saya pun tidak pasti macam mana gelaran itu timbul mungkin kerana mereka tengok kemesraan dan keakraban saya dengan pesakit walaupun pertama kali dirawat.
“Kebiasaannya saya akan berbual-bual dahulu dengan pesakit dan bertanya keadaannya seolah-olah itu adalah manusia.
“Karakter ini bukan hanya ada pada saya, malah kebanyakan veterinar dan pemilik haiwan pun akan menunjukkan sikap serta layanan sama,” katanya sambil tertawa.
Terdahulu, Salehatul Khuzaimah berkata, cintanya pada haiwan dipupuk sejak kanak-kanak lagi apabila bapa membawa pulang seekor anak kucing berwarna hitam untuk dipelihara di rumah.
Kucing yang dinamakan Rentung itu menjadi peneman mereka selama enam tahun sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat batu karang dan komplikasi penyakit lain.
“Saya sedih sebab tidak dapat menyelamatkannya lebih-lebih lagi pada masa itu kita kurang pendedahan tentang klinik haiwan.
“Pengalaman dengan Rentung mendorong saya mengambil kursus perubatan haiwan hingga bergelar veterinar,” kongsinya yang berkepakaran merawat haiwan kecil dan eksotik.
Selain haiwan berbulu seperti anjing dan kucing, antara pesakitnya yang lain ialah ular sawa (tanpa bisa), katak, kura-kura, ayam, itik dan pelbagai jenis burung termasuk burung unta, helang serta kakak tua.
Jadi pilihan pelanggan bukan Islam
Amalan kebersihan yang diamalkan Salehatul Khuzaimah turut menjadikan kliniknya sebagai pilihan pelanggan bukan Islam.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau sudah merawat lebih daripada 500 ekor anjing.
“Pelanggan saya terkejut melihat doktor Melayu dan bertudung merawat anjing mereka kerana berpandangan orang Islam tidak boleh langsung menyentuhnya.
“Situasi itu sekali gus membolehkan saya menceritakan pula keindahan Islam kepada mereka termasuk tentang ihsan kepada haiwan dan amalan sertu.
“Saya bersyukur kerana kerjaya ini bukan sahaja membantu saya mendidik orang Islam tentang ibadah ihsan pada haiwan malah menyebarkan kebaikan agama kita kepada penganut lain,” katanya.
Paling menarik, pelanggan bukan Islamnya turut mahu melaksanakan sertu selepas melihat amalan yang dilakukannya.
Rata-ratanya berpendapat Islam agama yang bersih dan mahu melakukan kaedah sama selepas menguruskan anjing masing-masing.
“Selain itu, ada juga pelanggan bukan Islam mengatakan mereka selesa datang ke klinik saya kerana amalan kebersihan tinggi yang dipraktikkan di sini,” katanya yang mahir bermain bowling.
aktiviti sukarelawan
Selain tugasan di klinik, Salehatul Khuzaimah aktif dalam aktiviti sukarelawan termasuk acara gotong-royong bagi pemandulan dan pemvaksinan haiwan jalanan.
Dalam masa terdekat, aktiviti itu akan diadakan di Shah Alam dengan menyasarkan sebanyak 150 kucing dan 70 anjing dalam sehari.
“Kebiasaannya, saya akan bawa semua kakitangan klinik untuk bersama-sama terlibat dalam potong-royong itu.
“Dengan aktiviti sebegini, saya harap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dan melahirkan golongan yang lebih berakhlak kepada haiwan.
“Jika tidak suka, janganlah buang, sakiti atau menganiaya haiwan. Manusia jangan pentingkan diri dan perlu sedar yang haiwan pun makhluk Allah di dunia ini,” katanya.

Kasihnya pada haiwan turut mendorong Salehatul Khuzaimah dan keluarga memberi anjing serta kucing jalanan makanan setiap kali sambutan Aidilfitri.
Rutin itu diamalkannya sejak sebelum berkahwin lagi dan diteruskan hingga kini.
“Kebiasaannya bila raya, kedai-kedai tutup dalam tempoh lama dan haiwan-haiwan ini kelaparan akibat tiada makanan.
“Oleh itu, selepas salam raya, saya bersama suami akan keluar sekejap untuk memberi anjing dan kucing jalanan makan sebagai ihsan kami kepada haiwan itu,” katanya.










